Rabu, 23 Disember 2015

PENGALAMAN CANTUMAN (GRAFTING/ KAHWIN) POKOK BUAH-BUAHAN

Cantuman pokok atau yang biasa dikatakan oleh kita sebagai kahwin pokok merupakan satu aktiviti pertanian bagi mencantumkan pokok bunga atau buah-buahan daripada variati yang dikehendaki kepada pokok penanti (root stock).  Tujuan utama cantuman dilakukan adalah sebagai salah satu teknik pembiakan untuk menambahkan bilangan pokok dengan ciri-ciri yang dikehendaki pada pokok asal seperti saiz buah-buahan yang besar ataupun bunga yang banyak selain untuk membolehkan pokok buah-buahan berbuah pada umur yang muda.  Selain itu, cantuman membolehkan pokok-pokok yang tak boleh tumbuh dengan keratan dan susah nak berakar dengan kaedah tut dibiakkan dengan kualiti yang sama dengan induknya.

Dari segi konsep, cantuman pokok memang senang saje.  Ambil pucuk tunas yang dikehendaki, hiris pakai pisau sehingga bentuk baji, selit masuk ke dalam celah yang telah dibuat pada pokok penanti, balut dengan plastik strip dan sungkup dengan plastik.  Memang senang kalau kita tengok kaedahnya.

Teori cantuman pokok (grafting)

  • Sediakan pokok penanti (root stock), pokok penanti boleh disemai daripada biji benih.  Pada peringkat ini, kita kena tunggu beberapa bulan sehingga saiz pokok penanti sesuai untuk digunakan untuk cantuman.
  • Dapatkan pucuk tunas pokok dikehendaki yang dikenali sebagai scion.  Scion ini seelok-eloknya diameternya sama saiz dengan pokok penanti untuk menyenangkan cantuman.  Scion seharusnya sihat dan segar.  Kalau boleh, lakukan cantuman terus bagi mengelakkan scion daripada dehidrasi. 
  • Pangkal scion dihiris menggunakan pisau tajam untuk dijadikan bentuk baji (atau bentuk segi tiga).  Pastikan permukaan dihiris dengan rata, seeloknya satu permukaan dihiris sekali saja untuk buangkan bahagian yang tidak dikehendaki.
  • Tujuan membuatkan bentuk baji adalah untuk mendedahkan lapisan kambium dalam scion.  Lapisan kambium ini terletak di antara bahagian kulit pokok dengan kayunya (hard wood).  Lapisan ini merupakan lapisan sel dalam tumbuhan yang membolehkan tumbuhan membesar dengan pembentukan sel baru dengan fungsi yang berbeza.  Bagi saya, ia adalah lebih kurang macam stem sel kat manusia.
  • Lepas tu, buangkan bahagian pucuk pokok penanti mengikut ketinggian yang dikehendaki dengan gunting pokok dan gunakan pisau tajam untuk membelahkan batang pokok penanti kepada dua belah dari atas ke bawah secara hati-hati kepada celah dengan panjang yang boleh memuatkan permukaan baji scion. 
  • Scion diselit masuk ke dalam celah yang telah dibelah dan pastikan permukaan kabium scion bertemu dengan permukaan cambium pokok penanti.  Dengan saizB diameter scion dan pokok penanti yang sama, kita hanya perlu pastikan bahawa kulit pokok di kiri dan kanan adalah selari.
  • Balutkan dengan grafting tape untuk mengekalkan posisinya selain untuk mengekalkan kelembapan.  Grafting tape perlu dibalut dari bawah menghala ke atas untuk mengelakkan air daripada memasuki ke dalam bahagian cantuman.
  • Sungkup dengan beg plastik dan tunggu hingga tunas baru tumbuh.


Apabila nak buat di lapangan, kaedah cantuman ini bukannya susah sangat SEKIRANYA kita telah memahiri kaedahnya.  Pengalaman saya sebagai amatur dalam bidang ini adalah: kita perlu mengulanginya berpuluh-puluh kali sebelum dapat memperoleh kemahiran untuk mendapat cantuman yang dapat hidup.  Kalau sesiapa yang nak belajar kat pokok penanti daripada semaian biji benih, sila pastikan semai banyak-banyak supaya boleh mengulangi proses cantuman sehingga mahir. Ada juga yang cadangkan supaya kita ambil dahan yang tidak dikehendaki dan belajar untuk buatkan cantuman sehingga mahir sebelum melakukannya pada pokok penanti dengan scion yang dikehendaki.  Untuk tujuan pembelajaran, saya hanya menggunakan pokok mangga umur lapan tahun saya yang ditanam daripada biji benih untuk latihan saya sebab sudah malas nak tunggu biji benih membesar.  

Sehingga hari ini, saya sudah cuba 3 kaedah cantuman, iaitu wedge grafting (cantuman baji), vaneer grafting (cantuman sisi) dan Z grafting (atau whip grafting??).  Daripada berpuluh-puluh yang dibuat, hanya 3 yang berjaya.  Iaitu satu daripada vaneer grafting yang dibuat pada tahun lepas dan 2 daripada Z grafting yang dibuat baru-baru ini. Saya telah melakukan cantuman pada pokok besar dan cantuman yang berjaya adalah dilakukan pada hujung tahun, iaitu semasa musim hujan.  Yang dibuat pada musim panas semua tak jadi.  Pada pendapat saya, mungkin faktor cuaca juga memainkan peranan dalam memastikan cantuman berjaya walaupun kita telah sungkup dengan beg plastik.  Barangkali musim hujan yang sejuk dan lembap telah mengurangkan stress pada scion yang dicantumkan dan membolehkan kambium tumbuh dan menyambungkan pokok penanti dengan scion.

Saya tidak menggunakan peralatan standard seperti yang digunakan oleh orang pertanian sebab tak tahu nak beli kat mana.  Saya menggunakan apa yang ada saja untuk menggantikan benda yang tak ada:

  1. Grafting knife :   Pada mula-mula, saya gunakan pisau kecil jenis lipat tapi dapati susah untuk membelahkan batang yang bersaiz besar.  Sekarang saya gunakan paper knife yang matanya boleh dipatah dan dibuang sekiranya tumpul.
  2. Grafting tape:  Biasanya orang akan gunakan parafilm.  Disebabkan tidak tahu nak beli kat mana, saya pernah guna jalur plastik yang dikerat daripada beg plastik tebal terpakai semasa membeli tanah, cable tie dan sekarang tengah guna cling wrap (polyethylene) yang biasa digunakan untuk mengekalkan kesegaran sayur dan lauk tak habis makan.  Jalur plastik kurang elastik dan susah sikit nak balut, tapi masih boleh digunakan. Vaneer grafting saya yang berjaya adala dibalut dengan plastik ini.  Cable tie boleh mengekalkan posisi scion dengan baik tetapi mendedahkan bahagian cantuman.  Bagi membaiki kelemahan ini, saya telah membalutkan scion dengan surat khabar lembap.  Dan sekarang ada dua ranting yang dicantum telah mula mengeluarkan daun baru.  Untuk cling wrap, saya telah keratkan cling wrap kepada lebar 1" dan digunakan untuk membalut cantuman, rasa puas hati dengan menggunakannya, sebab ia elastik, fleksible dan senang nak digunakan.
Cling wrap yang digunakan.  Saya telah mengerat keluar cling wrap dengan lebar 1" dan digunakan untuk membalut bahagian cantuman.

Sekarang saya banyak menggunakan Z grafting untuk cantuman memandangkan saya dapati Z grafting dapat memberikan cengkaman yang kuat dan scion dapat "menyepit" pada pokok penanti dengan ketat sebelum dibalut dengan cling wrap.

Gambar atas menunjukkan cantuman yang telah berjaya dengan menggunakan Z grafting.  Tunas baru akan tumbuh selepas lebih kurang 2 minggu.  Cantuman ini telah diikat dengan cable tie, jadi, saya telah balutkan scion dengan surat khabar lama untuk mengekalkan kelembapannya selain disungkup dengan beg plastik seperti yang terdapat pada sebelah kiri cantuman.  Sekiranay cantuman tak jadi, dalam masa 1 minggu - 2 minggu, scion akan bertukar hitam dan mati.


Perhatikan tempat cantuman yang telah bercantum dan diikat dengan cable tie, parutnya akan lebih kurang berbentuk huruf Z bagi Z grafting.

Cantuman sisi pada pokok mangga yang telah dibuat pada tahun lepas.  Parut masih boleh diperhatikan lagi.

Cantuman sisi pada pokok fig daripada keratan yang dibeli.  Saya tak pasti sama ada saya telah betul -betul memahiri teknik cantuman ataupun pokok fig memang senang nak dicantumkan.  Saya telah mencuba pada 2 pokok dan kedua-duanya telah tumbuh daun muda menunjukkan cantuman telah berjaya.

Cara membuat Z grafting

1.  Mula-mula, buatkan bentuk baji pada scion.  Seeloknya dihiris sekali pada setiap belah bagi membolehkan permukaan cantuman yang licin.  


2.  Kemudian, saya akan membelah salah satu belah secara memanjang menghala ke pucuk scion untuk mewujudkan bentuk lidah dengan panjang lebih kurang 1cm supaya boleh mencengkam pada pokok penanti.  

3.  Perhatikan paper knife yang digunakan.  Matanya boleh dipatah dan dibuangkan sekiranya telah tumpul.


2.  Pokok penanti dibuangkan pucuknya.  Kemudian dibelah dua, seeloknya sebelah tebal dan sebelah nipis.  Sebelah yang tebal dihiris serong.  Seeloknya pokok penanti yang dipilih masih muda dan tidak keras.  Bila sudah keras, ia adalah kurang fleksible apabila kita hendak menyelit masuk scion.

4.  Scion yang telah disediakan diselit masuk ke dalam pokok penanti.  Bahagian berlidah kena cantum dengan bahagian yang serong pada pokok penanti. Bila dah dicantumkan, ia akan berbentuk seperti huruf Z.

5.  Cantuman Z grafting yang dibuat  dibalut dengan cling wrap.

6.  Sungkup/ tutup dengan beg plastik untuk mengekalkan kelembapan dan tunggu selama 2 minggu untuk mengetahui sama ada cantuman jadi atau tidak.

Update pada 19/7/2016

 Cantuman sisi pada pokok tin yang telah berjaya dan mula mengeluarkan daun baru.

Cantuman baji dan cantuman sisi yang telah berjaya pada root stock yang sama.


Percubaan cantuman sisi pada pokok mangga ( 4 pohon root stock telah dicantumkan)
Cantuman sisi pada pokok mangga selepas seminggu cantuman dijalankan.
 Scion telah mula menukar warna menjadi hitam menunjukkan peluang untuk cantuman berjaya semakin rendah.

 
Scion yang masih hijau selepas seminggu menunjukkan scion masih sihat dan peluang cantuman untuk bergabung meningkat.  Walaubagaimanapun, kena tunggu juga hingga minggu kedua dan ketiga baru dapat dipastikan sama ada cantuman ini adalah betul-betul berjaya.

Scion mula layu dan menjadi hitam selepas 8 minggu cantuman dilakukan ( Dicantum pada 9/7/16, gambar diambil pada 2/9/16).  Sebelum ini, scion ini kekal hijau walaupun layu dan berkedut sedikit namun tunas baru gagal berkembang.  Apabila root stock yang dicantas telah kering dan mati, scion pun mula layu dan mati.

Pada cantuman sisi kali ini, hanya satu pokok mangga dengan scion melaka delight yang telah berjaya dicantumkan seperti gambar di bawah.
                                                
 Scion yang telah keluarkan pucuk muda dan lokasi cantuman yang telah sembuh dengan wujudnya parut.

Namun rootstock telah mengalami masalah mereput pada pangkal dan menyebabkan pokok ini telah mati.

Kemaskini pada 18/3/2019 
Bagi menjawab soalan tuan unknown yang ingin tahu mengenai berapa lama scion boleh bertahan setelah diambil daripada pokok induk yang ditanya pada Januari 2019, saya hanya dapat jawab di post ini kerana saya menghadapi masalah tidak boleh tulis respond di catatan untuk post ini.

Pada pendapat saya dan mengikut pengalaman saya yang tak seberapa ini, scion sekiranya diuruskan dengan baik, iaitu dikekalkan dalam keadaan segar dengan kelembapan yang mencukupi, ia boleh bertahan selama 2 minggu, kalau dimasukkan dalam peti sejuk dalam keadaan kedap udara dengan kelembapan dikekalkan, boleh tahan lagi lama.  Scion saya yang lama yang pernah saya grafkan  adalah scion keratan fig yang dibeli yang mengambil masa selama 2 minggu untuk sampai ke tangan saya.  Jadi, sepatutnya dengan pengurusan yang betul, scion memang boleh bertahan lama, cuma mungkin kebarangkalian untuk graft hidup akan menjadi kurang, maklumlah dah lama tak dapat nutrien dari induk, jadi, kalau boleh, graflah secepat mungkin.  Harap ini dapat menjawab soalan tuan unknown.

37 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mana lebih baik cantuman mata tunas atau cantuman sisi?

Weekend Farmer berkata...

Salam sejahtera, tuan,

Pada pendapat saya yang baru cuba memahiri teknik-teknik ini, kedua-dua ada kelebihan dan kekurangannya. Untuk cantuman mata tunas, teknik ini akan memerlukan kemahiran yang lebih tinggi dan kerja yang lebih teliti/ halus untuk mengerat, mengopek kulit root stock serta memasukkan mata tunas ke dalam kulit yang dikopek. Cantuman mata tunas dikatakan lebih menjimatkan sumber memandangkan hanya satu mata tunas diperlukan untuk setiap cantuman.

Manakala untuk cantuman sisi, root stock dikatakan boleh digunakan semula sekiranya cantuman gagal berbanding dengan cantuman baji. Untuk cantuman sisi, sebatang scion/ batang tunas daripada pokok induk diperlukan, iaitu lebih daripada satu mata tunas akan digunakan selain memerlukan saiz batang tunas yang lebih kurang sama dengan root stock.

Untuk berjaya dalam apa-apa jenis cantuman, latihan praktikal/ hands on secara berterusan adalah amat penting bagi memahiri teknik-teknik ini. Harap dapat menjawab persoalan tuan.

Tanpa Nama berkata...

Saya telah cuba untuk melakukan cantuman baji utk pokok mangga. Selepas 3 minggu, tunas masih belum keluar, tetapi scion masih hijau. Adakah ini menunjukkan masih ada harapan untuk melihat tunas keluar? Apa yang silap agaknya? Harap tuan dapat membantu.

TanamanKu berkata...

Selepas 3 minggu, mata tunas masih hijau tetapi tidak berkembang/bertunas. Scion juga masih hijau. Mohon tuan ulaskan. Tkasih.

TanamanKu berkata...

Selepas 3 minggu, mata tunas masih hijau tetapi tidak berkembang/bertunas. Scion juga masih hijau. Mohon tuan ulaskan. Tkasih.

Weekend Farmer berkata...

Salam sejahtera, Tuan,

Bagi pendapat saya, scion atau mata tunas yang masih hijau dan segar selepas 3 minggu menunjukkan bahawa kebarangkalian cantuman berjaya telah meningkat dan sekiranya cantuman dibuat dengan betul, mata tunas sepatutnya akan berkembang dalam masa yang terdekat. Harap tuan bersabar. Sekiranya tuan melakukan cantuman sisi seperti yang saya buat, minta buangkan pucuk root stock bagi membolehkan scion berkembang dengan lebih cepat. Pada peringkat ini, seelok-eloknya jangan diusik scion tersebut sebab takut cantuman masih belum cukup kuat lagi.

Ribuan terima kasih atas pertanyaan tuan dan harap tuan mendapat jawapan yang dikehendaki daripada pendapat saya di atas.



Weekend Farmer berkata...

Untuk Tuan Tanpa Nama,

Pendapat saya adalah seperti di atas. Selagi scion masih hijau dan segar, harapan untuk cantuman berjaya itu sentiasa ada. Tuan cuma perlu memberikan masa kepada cantuman untuk bertunas dan berkembang. Mengikut pengalaman saya, biasanya bagi cantuman yang tidak berjaya, scion akan menjadi warna hitam dan layu dalam masa 2 minggu. Harap dapat membantu.

MaMiN berkata...

Tuan, balutan pada cantuman hanya akan dibuka selepas pucuk daun baru keluar atau bagaimana? Saya telah melakukan 3 camtuman pada pokok mangga 6 minggu lepas,2 daripadanya hitam dan 1 kekal hijau namun belum lagi naik pucuk daun baru.

Weekend Farmer berkata...

Salam sejahtera Tuan MaMin,

Terima kasih kerana melawat ke blog saya. Biasanya saya akab biarkan balutan tersebut sehingga pucuk baru telah stabil dan cantuman telah kuat baru saya akan buangkan balutan tersebut.

Bekon berkata...

T.kasih kerana kongsi pengalaman... Boleh try nnty...

Weekend Farmer berkata...

ama sama Tuan, harap dapat memberi idea.

didi berkata...

Assalamualaikum.. Nak tanya.. Cth nak buat cantuman ada pokok durian..mata tunas tu kena ambil pada pokok durian yg dh berbuah ke? Utk di cantumkan pda pokok penanti?

Weekend Farmer berkata...

Salam sejahtera, Tuan didi,

Setahu saya, seeloknya diambil dari pokok yang dah berbuah supaya mata tunas tersebut merupakan mata tunas dari pokok yang sudah matang dan boleh mengeluarkan buah dalam masa yang singkat.

Unknown berkata...

Asalamualaikum...apakah ada baja yg boleh merangsangkan tunas durian

Weekend Farmer berkata...

Tuan unknown,

Salam sejahtera dan terima kasih kerana sudi mengunjung ke blog saya dan minta maaf kerana lambat menjawab.
Pada pendapat saya yang bukannya pakar tumbuhan, penggunaan baja kimia dengan ratio NPK yang seimbang dah memadai bagi memastikan pokok sihat dan mengeluarkan tunas. Tuan boleh rujuk kepada yang lagi arif untuk keperluan baja durian. Saya sertakan link risalah daripada kerajaan Terengganu mengenai tanaman durian sebagai rujukan tuan.
http://www.terengganu.gov.my/maxc2020/appshare/widget/mn_img/76682file/Durian%20info.pdf
Harap tuan boleh mendapat jawapan daripada risalah tersebut.

Unknown berkata...

As salam Tuan.. Berapa lamakah usia ketahanan scion selepas diambil dari pokok dan boleh berikan tips untuk kekalkan kesegaran scion selepas diambil.. Terima kasih

Weekend Farmer berkata...

Tuan unknown,

Salam sejahtera,

Soalan tuan telah saya jawab dalam post sebab tadi memang tidak dapat hendak dijawab dalam catatan. Terima kasih kerana melawat ke blog saya.

Unknown berkata...

Assalamualaikum tuan.. sy pernah buat cantuman pada pokok cempadak namun belum ada yg berjaya.. apakah pokok cempadak ni x ble dicantum atau cara cantuman yg salah.. boleh tuan bagi pendapat..?

Weekend Farmer berkata...

Salam sejahtera dan selamat pagi,

Tuan unknown,

sekadar berkongsi dengan tuan, bagi saya yang sekadar buat cantuman secara suka-suka, kadar kejayaannya pun amat rendah. Secara teorinya, semua pokok janji spesies yang sama, sepatutnya boleh dibuat cantuman, saya galakkan tuan untuk teruskan aktiviti cantuman ini dan sekiranya cantuman mata tunas dan baji susah sangat untuk hidup, saya cadangkan tuan buat cantuman cara "approach grafting" yang mempunyai kadar kejayaan yang tinggi.

Harap pendapat saya boleh memberi idea kepada tuan.
Terima kasih kerana melawat blog saya yang tidak berapa aktif ini.

Unknown berkata...

Bagi sebuah pokok penanti, berapa bilangan cantuman paling maksumum yang boleh kita lakukan..?

Weekend Farmer berkata...

Salam sejahtera tuan unknown,

untuk makluman, saya pernah diberitahu bahawa ada pokok mangga yang dicantum dengan 3 variati dan pernah nampak pokok bunga kertas yang dicantum pelbagai variati. Saya juga pernah cuba untuk buat cantuman pelbagai variati tin pada satu pokok yang menampakkan kejayaan. Namum, kebiasaan yang diperhatikan adalah satu pokok penanti satu scion. Jadi, pendapat saya adalah kita boleh buat cantuman sekiranya adanya ruang mencukupi pada badan pokok penanti yang membolehkan cantuman dilakukan. Cuma mungkin kena buat pada masa yang berbeza supaya pokok tidak stress.

Sekadar pendapat saya yang bukannya pakar pokok, harap dapat membantu. :)

Unknown berkata...

Sy mahu tanya, sekiranya buat cantuman, adakah jenis pokok tunasnya mesti sama dgn pokok bibit tersebut?
Contohnya kalau mata tunas musang king, mesti cantumkan dgn anak benih musang king juga ka? Atau boleh saja guna berlainan jenis pokok utk dicantumkan..

Weekend Farmer berkata...

Salam sejahtera,

Tuan Unknown,

Untuk makluman, secara umumnya, teknik ini sesuai digunakan untuk pokok spesies yang sama, variatinya berbeza tidak menjadi masalah, untuk durian, tuan boleh cantumkan musang king kepada durian kampung pun tidak ada masalah, yang pentingnya pokok bibit tersebut mempunyai sistem akar yang kuat.

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Unknown berkata...

Terima kasih berkongai ilmu yang amat bermanfaat

Weekend Farmer berkata...

Sama sama Tuan. Semoga bermanfaat kepada semua.

Weekend Farmer berkata...

Tuan tanpa nama, minta maaf, dah terpadam ulasan tuan. Sekiranya tuan tidak keberatan, boleh tinggalkan ulasan semula. Terima kasih.

Izat isara berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Unknown berkata...

Ada ubat utuk baji pokok

Unknown berkata...

Sekadar brtanya..blh kah klu cantumkan berlainan pokok mangga?cth mangga epal cantum dg mangga cikonen

Unknown berkata...

Salam sejahtera,

Tuan Unknown,

Setahu saya, tiada apa apa ubat untuk baji pokok, yang penting peralatan yang digunakan mesti bersih tanpa kuman selain kaedah cantuman mesti kena pada kedua-dua cabium pokok penanti dan scion bagi meningkatkan kadar kejayaan cantuman.

Dan untuk cantuman pokok mangga dan pokok lain, sekiranya merupakan spesies yang sama, memang tiada masalah dan boleh dicantumkan. Jadi, untuk pokok mangga spesis sama yang berbeza variati, cantuman boleh dilakukan.

Unknown berkata...

Berapa lama boleh buka cantunggan kalau berjaya?

Amar berkata...

As salam tuan,

Boleh x scion yg akan digunakan diambil dari jenis poko yang sama? Contohnya, penanti durian D24 dan scion juga dari durian D24..mohon maklumbalas tuan.tqsm tuan

Unknown berkata...

Boleh teknik kahwin ini digunakan dekat pokok yang ditanam melalui biji...

Weekend Farmer berkata...

Tuan Unknown,

Pokok yang ditanam melalui biji sesuai digunakan sebagai pokok penanti di mana kita perlu mendapatkan scion daripada pokok yang dah berbuah untuk menjalankan cantuman supaya pokok cepat berbuah. Sekiranya dicantum dengan pokok yang ditanam dari biji, kesan ia adalah kita masih perlu menunggu lama sebelum dapat merasa buahnya.

Weekend Farmer berkata...


Tuan Amar:
Untuk soalan tuan seperti di bawah:
Boleh x scion yg akan digunakan diambil dari jenis poko yang sama? Contohnya, penanti durian D24 dan scion juga dari durian D24.

Pendapat saya adalah boleh digunakan sebagai pokok penanti. Cuma kena pastikan scion dari D24 yang dah berbuah. Sebab saya tidak pernah menanam D24, saya tidak pasti sama ada benih D24 adalah agresif dari segi pertumbuhan akar, sebab biasanya penanti yang dipilih adalah lagi elok sekiranya mempunyai sistem pengakaran yang kuat.

Weekend Farmer berkata...

Salam tuan unknown:

Untuk soalan tuan seperti di bawah:

Berapa lama boleh buka cantunggan kalau berjaya?

Pada pendapat saya, cantuman boleh dibuka setelah tunas telah mula tumbuh stabil dan lokasi cantuman telah pulih sepenuhnya dengan pembentukan parut. Mungkin akan mangambil sebulan hingga 2 bulan bergantung kepada jenis pokok. Pada pokok tin yang biasa saya lakukan cantuman, sekiranya berjaya, biasanya saya akan buka plastiknya dalam tempoh sebulan lebih untuk menilai luka cantuman, sekiranya pembentukan parut telah berlaku saya akan buka terus, sekiranya belum sembuh sepenuhnya, saya akan tutup balik dan menilai lagi pada bulan depan. Yang penting keadaan scion telah melekat terus pada pokok penanti sebelum plastik ditanggalkan.