Rabu, 9 Disember 2015

PERKONGSIAN CARA MEMBUAT SISTEM PENGAIRAN (WATERING SYSTEM) DIY MUDAH

Bagi peminat tanaman yang bekerja luar daripada kampung sendiri, apabila sampai musim perayaan dan musim cuti sekolah, mesti ada yang mengambil cuti beberapa hari atau seminggu untuk balik kampung ataupun bercuti di tempat lain.  Masalah yang paling pening adalah untuk memastikan tanaman kesayangan dalam pasu tidak kehausan dan layu mati.  Saya pun mengalami masalah yang sama setiap kali balik kampung sekeluarga.  Namun, nak macam mana, biasanya saya akan alihkan semua tanaman pasu saya ke bawah pokok dan harapkan yang terbaik, iaitu hujan akan turun ketika saya tiada di rumah.  Sejak mula menanam pokok fig yang harganya boleh tahan,  saya telah membuatkan satu sistem pengairan yang mudah dipakai bagi tujuan pengairan ketika ketiadaan di rumah selain untuk menyenangkan kerja menyiram pada setiap hari.  

Sistem ini merupakan adaptasi daripada apa yang didapati pada sistem fertigasi/ drip irrigation yang canggih, memerlukan modal dan susah untuk didapati di kawasan saya.  Saya telah menggunakan sumber yang senang didapati untuk membuatkan sistem pengairan DIY ini.  Semua bahan yang digunakan boleh dibeli daripada kedai hardware dan kedai ikan hiasan.

Bahan utama yang digunakan dan kos terlibat:

1.  Getah hose ( 13m @ RM13, dibeli untuk menggantikan hose lama yang digunakan)
2.  Pump akuarium (saya guna pump akuarium lama saya, kos sekarang tidak diketahui)
3.  Timer ( RM 35, digital timer yang boleh set sehingga 1 minit, dibeli online.  Boleh juga guna yang
     analog dengan min. setting 15 minit, murah sedikit, boleh beli di kedia/ supermarket)
4.  Sistem injap pelampung/ float valve (termasuk flexible hose, pvc paip pendek, gum pvc,
     penyambung T @ RM23.90)
5.  Baldi (saya guna baldi lama)
6.  Kayu second hand dan batu bata
7.  Valve air pump akuarium (optional, 1pcs @ RM0.50, bilangan bergantung kepada berapa banyak 
     lubang nak ditebok dan sekiranya hendak pakai)
8.  Extension wire ( saya guna yang lama)
9.  Hose clip (saya guna yang lama)
10.Clip buku besi ( saya guna yang lama)

Modal yang saya keluarkan untuk pembelian adalah lebih kurang RM75 sebab telah banyak menggunakan bahan yang sedia ada.  Sekiranya buat satu set sistem baru, rasanya kos akan mencecah RM100 lebih. Sistem saya ini hanya mempunyai fungsi untuk siram air sampai tanah basah saja dan itulah sebab saya membuatkannya.

Cara membuat sistem pengairan adalah seperti berikut:

1.  Kenalpasti lokasi yang sesuai untuk pasang sistem pelampung dan panjang extension wire yang diperlukan.  Saya telah memilih untuk memasang sistem pelampung dekat dengan pili air bagi menyenangkan kerja.    
       

            Penyambung T dipasang pada pili paip sediada untuk disambungkan kepada flexible hose.      


                     Extension wire ditutup dengan beg plastik untuk mengelakkan tempias hujan.                

2.  Tembok lubang pada kayu yang hendak digunakan untuk membolehkan sistem pelampung dipasang pada kayu.                                                                                                                             

3.  Lepas tu, ukur ketinggian kayu dengan baldi untuk membolehkan sistem pelampung boleh berfungsi untuk menadah air sehingga ke paras air yang dikehendaki.  Gergajikan kayu ditembok kepada panjang yang dikehendaki.

4.  Gergajikan satu lagi papan yang panjangnya pendek sedikit daripada diameter baldi yang digunakan.  Pakukan kayu tersebut kepada sebelah hujung kayu yang telah ditembok supaya berbentuk T terbalik dengan lubang ditembok diatas.   

5.  Ikatkan batu bata pada kayu T terbalik supaya kayu terebut boleh berdiri di dalam baldi.

6.  Pasangkan sistem pelampung kepada lubang kayu ditembok.

7.  Pasangkan flexible hose pada sistem pelampung.  

Sistem pelampung yang telah dipasang pada kayu dan diikat pada batu bata supaya boleh berdiri atas air.

8.  Tutupkan punca air utama supaya kerja penyambungan paip pvc boleh dijalankan.

9.  Buka pili paip dan tambahkan penyambung T untuk memboleh paip disalur keluar kepada sistem pelampung.  Sambungkan PVC paip dengan gum pvc untuk bahagian yang tiada bebenag (thread)  dan tape putih untuk penyambung bebenang.

10.  Sambungkan flexible hose kepada pvc paip baru yang dipasang dengan ketat.  Tape putih tidak diperlukan sebab dalam flexible sudah ada getah khas untuk menghalang air bocor keluar.

11.  Buka punca air utama dan uji aliran air ke dalam baldi.  Pastikan paip yang dipasang tidak bocor.  Selaraskan paras air yang dikehendaki dengan menyelaraskan sistem pelampung.    

                                Air sedang diisi dalam baldi setelah punca air utama dibuka.                                 

12.  Pasangkan hose yang dibeli pada pump akuarium.  Saya telah menggunakan hose clip untuk memastikan pump tidak tercabut daripada hose getah.  Matikan hujung hose yang satu lagi dengan clip buku besi supaya hose boleh ditambah panjang sekiranya perlu.  

       
                               Clip buku digunakan untuk mematikan hujung hose getah.                                       
13.  Susunkan pokok yang hendak disiram di sepanjang hose getah bagi menentukan jarak antara pasu supaya lubang boleh ditembok.  Hose getah ditempatkan di atas pasu dan dikekalkan kedudukan dengan menggunakan kawat.

       Kawat digunakan untuk mengekalkan kedudukan hose supaya tidak mudah jatuh dari atas pasu.  


14.  Saya menembok lubang dengan menggunakan screw driver bunga yang telah dipanaskan sehingga merah.  Dengan saiz screw driver yang saya gunakan, lubang yang dihasilkan adalah sedikit lebih besar, kalau boleh, gunakan saiz lebih kurang paku 1" barangkali lagi elok supaya air yang mengalir taklah laju sangat.     
                                                                                                  
15.  Disebabkan saiz adalah besar, maka, saya telah tambahkan air pump valve pada sesetengah lubang yang telah ditebok untuk mengawal aliran air supaya pokok yang kecil tidak terlampau basah dengan air yang disiram.  Cuma masalahnya bila pakai air pump valve adalah kepingan lumut yang terbentuk dalam hose getah senang menyumbatkan valve dan menyebabkan air tidak dapat mengalir ke pasu.              
                                                                                            
 Air pump valve getah dan besi yang digunakan.  Aliran air daripada valve besi adalah lagi lancar daripada yang getah tetapi mahal 2-3x ganda daripada yang getah.      

                                         
16.  Pasang pump dan setkan timer kepada masa yang dikehendaki.  Oleh sebab menggunakan digital timer, saya telah setkan masa menyiram sebanyak 3 kali sehari dengan masa setiap kali siram selama 2 minit pada awal pagi, sebelum tengahari dan sebelah petang.  Dan sekarang sedang cuba untuk mengurangkan kekerapan menyiram kepada 2 kali.  Bagi sistem yang menggunakan timer analog, masa untuk menyiram minimum untuk setiap kali adalah selama 15minit.  
                     
 Digital timer yang digunakan. 

                                             Analog timer yang senang didapati di pasaran.                                                                                                                                                                                                          
17.  Saya telah meletakkan jubin/ batu dekat dengan tanah yang terkena air supaya air boleh disalurkan dengan rata ke seluruh pasu dan bukannya sebahagian pasu. 

Jubin/batu/ atau apa apa bahan yang boleh digunakan untuk memastikan air mengalir rata ke seluruh pasu telah digunakan supaya air tidak terus disiram ke satu tempat sahaja.

18.  Sistem ini telah digunakan selama 2 bulan lebih dan sehingga kini, saya amat berpuas dengan sistem ini yang dapat menyenangkan kerja menyiram saya pada setiap hari.  

Beginilah caranya saya membuatkan sistem pengairan DIY yang mudah dengan bahan yang senang didapati di kedai hardware dan kedai akuarium untuk dikongsi sama.  





Tiada ulasan: