Isnin, 28 Disember 2015

LAWATAN KE LADANG KAMBING


Saya telah diberi peluang untuk mengikut rombongan lawatan kerja ke ladang kambing yang terletak di Balik Pulau, Pulau Pinang dan Sungai Siput, Perak pada bulan Ogos.  Saya kongsikan gambar yang diambil disini. 

Ladang Infoternak

Ladang ini merupakan ladang Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak.  Seperti nama ladang, ladang ini bertujuan untuk memberi maklumat penternakan kepada usahawan.  Antara ternakan yang diternak disini adalah kambing dan burung unta.

Milking parlor untuk kambing tenusu, sama seperti yang terdapat pada lembu tenusu cuma saiznya kecil mengikut saiz badan kambing.  Ini merupakan sistem yang digunakan untuk memerah susu kambing dengan menggunakan mesin.



Semua gambar atas menunjukkan Kambing Toggenburg yang dibela dalam ladang inforternak.  Kambing ini merupakan kambing tenusu yang berasal daripada Toggenburg, Switzerland.


Kambing Saanen.  Salah satu lagi kambing tenusu yang terdapat di ladang ini.  Ketika lawatan, kambing ini sedang meragut dalam paddock.  Kambing ini juga berasal dari Switzerland.

Paddock yang telah dibajak sebagai penyediaan untuk penanaman semula rumput.

Kambing Boer.  Kambing ini merupakan kambing pedaging yang amat popular di Malaysia pada satu ketika dulu.

Burung unta yang terdapat di ladang ini.  Daging burung unta kurang popular di Malaysia.  Produk utama burung unta sepatutnya adalah kulitnya dan bukannya dagingnya,  tetapi di Malaysia, kita menjualkan dagingnya memandangkan fasiliti untuk memproses kulitnya susah untuk didapati.


Ladang Saanen Dairy Goat Farm

Ladang ini terletak di Balik Pulau, Pulau Pinang.  Pemiliknya merupakan seorang peramah dan masuk untuk lawatan adalah percuma.  Kami telah diberi peluang untuk minum susu kambing yang telah dihasilkan di ladang ini.  Dan susah untuk dipercayai, susu kambing yang dihasilkan di sini boleh dikatakan langsung tak ada bau kambing.   Pelbagai produk juga dihasilkan untuk jualan diladang ini.  memandangkan masuk adalah percuma, pada pendapat saya, kita haruslah membelikan sedikit sebanyak produk yang dihasilkan untuk menyokong ladang ini.


 
Susu kambing yang dihasilkan di ladang ini.

 
Tauke sedang memberi taklimat bagaimana susu kamhbing diperah dengan mengunakan milking machine.
Kambing akan masukkan kepalanya melalui palang besi untuk memakan rumput kering dalam palong makanan.  Palang besi akan dirapatkan bagi mengelakkan kambing daripada bergerak sebelum susu mula diperah.
Mesin memerah susu yang digunakan.

Kambaing Saanen yang jinak.

Kandang kambing yang dibina dengan kayu.

Makanan yang diberikan kepada kambing untuk memastikan kambing dapat menghasilkan susu yang berkualiti.

Happy Goat Farm

Ladang ini juga terletak di Balik Pulau, Pulau Pinang.  Ladang ini menggunakan teknologi kandang tertutup untuk menternak kambing Saanen.  Pemiliknya telah membinakan kandang ini dengan menggunakan kepingan  besi zincalum, cooling pad dan kipas ekzos bersaiz besar.  Cooling pad akan dibasahi dengan air dan air akan menyejukkan udara yang akan ditarik masuk ke dalam kandang oleh kipas ekzos besar yang telah dipasang di belakang kandang.

Untuk ladang ini, saya kurang pasti samada ladang ini dibuka untuk lawatan awam atau tidak memandangkan saya mengikuti rombongan lawatan rasmi yang telah diaturkan.


Alat yang digunakan untuk menarik keluar tahi kambing daripada kandang.

Rumput yang ditanam sebagai makanan kambing.

Produk yang dihasilkan daripada susu kambing.

Susu kambing yang dihasilkan di ladang ini.

Kambing Saanen dalam kandang sedang memakan rumput segar yang diberikan.

Kambing dalam keadaan selesa di dalam kandang besi.

Perhatikan di sebelah hujung kandang, terdapat kipas ekzos besar yang digunakan untuk menarik udara keluar dari kandang bagi menwujudkan aliran udara yang sentiasa segar dan dingin dalam kandang dengan bantuan cooling pad di depan.

Rabu, 23 Disember 2015

PENGALAMAN CANTUMAN (GRAFTING/ KAHWIN) POKOK BUAH-BUAHAN

Cantuman pokok atau yang biasa dikatakan oleh kita sebagai kahwin pokok merupakan satu aktiviti pertanian bagi mencantumkan pokok bunga atau buah-buahan daripada variati yang dikehendaki kepada pokok penanti (root stock).  Tujuan utama cantuman dilakukan adalah sebagai salah satu teknik pembiakan untuk menambahkan bilangan pokok dengan ciri-ciri yang dikehendaki pada pokok asal seperti saiz buah-buahan yang besar ataupun bunga yang banyak selain untuk membolehkan pokok buah-buahan berbuah pada umur yang muda.  Selain itu, cantuman membolehkan pokok-pokok yang tak boleh tumbuh dengan keratan dan susah nak berakar dengan kaedah tut dibiakkan dengan kualiti yang sama dengan induknya.

Dari segi konsep, cantuman pokok memang senang saje.  Ambil pucuk tunas yang dikehendaki, hiris pakai pisau sehingga bentuk baji, selit masuk ke dalam celah yang telah dibuat pada pokok penanti, balut dengan plastik strip dan sungkup dengan plastik.  Memang senang kalau kita tengok kaedahnya.

Teori cantuman pokok (grafting)

  • Sediakan pokok penanti (root stock), pokok penanti boleh disemai daripada biji benih.  Pada peringkat ini, kita kena tunggu beberapa bulan sehingga saiz pokok penanti sesuai untuk digunakan untuk cantuman.
  • Dapatkan pucuk tunas pokok dikehendaki yang dikenali sebagai scion.  Scion ini seelok-eloknya diameternya sama saiz dengan pokok penanti untuk menyenangkan cantuman.  Scion seharusnya sihat dan segar.  Kalau boleh, lakukan cantuman terus bagi mengelakkan scion daripada dehidrasi. 
  • Pangkal scion dihiris menggunakan pisau tajam untuk dijadikan bentuk baji (atau bentuk segi tiga).  Pastikan permukaan dihiris dengan rata, seeloknya satu permukaan dihiris sekali saja untuk buangkan bahagian yang tidak dikehendaki.
  • Tujuan membuatkan bentuk baji adalah untuk mendedahkan lapisan kambium dalam scion.  Lapisan kambium ini terletak di antara bahagian kulit pokok dengan kayunya (hard wood).  Lapisan ini merupakan lapisan sel dalam tumbuhan yang membolehkan tumbuhan membesar dengan pembentukan sel baru dengan fungsi yang berbeza.  Bagi saya, ia adalah lebih kurang macam stem sel kat manusia.
  • Lepas tu, buangkan bahagian pucuk pokok penanti mengikut ketinggian yang dikehendaki dengan gunting pokok dan gunakan pisau tajam untuk membelahkan batang pokok penanti kepada dua belah dari atas ke bawah secara hati-hati kepada celah dengan panjang yang boleh memuatkan permukaan baji scion. 
  • Scion diselit masuk ke dalam celah yang telah dibelah dan pastikan permukaan kabium scion bertemu dengan permukaan cambium pokok penanti.  Dengan saizB diameter scion dan pokok penanti yang sama, kita hanya perlu pastikan bahawa kulit pokok di kiri dan kanan adalah selari.
  • Balutkan dengan grafting tape untuk mengekalkan posisinya selain untuk mengekalkan kelembapan.  Grafting tape perlu dibalut dari bawah menghala ke atas untuk mengelakkan air daripada memasuki ke dalam bahagian cantuman.
  • Sungkup dengan beg plastik dan tunggu hingga tunas baru tumbuh.


Apabila nak buat di lapangan, kaedah cantuman ini bukannya susah sangat SEKIRANYA kita telah memahiri kaedahnya.  Pengalaman saya sebagai amatur dalam bidang ini adalah: kita perlu mengulanginya berpuluh-puluh kali sebelum dapat memperoleh kemahiran untuk mendapat cantuman yang dapat hidup.  Kalau sesiapa yang nak belajar kat pokok penanti daripada semaian biji benih, sila pastikan semai banyak-banyak supaya boleh mengulangi proses cantuman sehingga mahir. Ada juga yang cadangkan supaya kita ambil dahan yang tidak dikehendaki dan belajar untuk buatkan cantuman sehingga mahir sebelum melakukannya pada pokok penanti dengan scion yang dikehendaki.  Untuk tujuan pembelajaran, saya hanya menggunakan pokok mangga umur lapan tahun saya yang ditanam daripada biji benih untuk latihan saya sebab sudah malas nak tunggu biji benih membesar.  

Sehingga hari ini, saya sudah cuba 3 kaedah cantuman, iaitu wedge grafting (cantuman baji), vaneer grafting (cantuman sisi) dan Z grafting (atau whip grafting??).  Daripada berpuluh-puluh yang dibuat, hanya 3 yang berjaya.  Iaitu satu daripada vaneer grafting yang dibuat pada tahun lepas dan 2 daripada Z grafting yang dibuat baru-baru ini. Saya telah melakukan cantuman pada pokok besar dan cantuman yang berjaya adalah dilakukan pada hujung tahun, iaitu semasa musim hujan.  Yang dibuat pada musim panas semua tak jadi.  Pada pendapat saya, mungkin faktor cuaca juga memainkan peranan dalam memastikan cantuman berjaya walaupun kita telah sungkup dengan beg plastik.  Barangkali musim hujan yang sejuk dan lembap telah mengurangkan stress pada scion yang dicantumkan dan membolehkan kambium tumbuh dan menyambungkan pokok penanti dengan scion.

Saya tidak menggunakan peralatan standard seperti yang digunakan oleh orang pertanian sebab tak tahu nak beli kat mana.  Saya menggunakan apa yang ada saja untuk menggantikan benda yang tak ada:

  1. Grafting knife :   Pada mula-mula, saya gunakan pisau kecil jenis lipat tapi dapati susah untuk membelahkan batang yang bersaiz besar.  Sekarang saya gunakan paper knife yang matanya boleh dipatah dan dibuang sekiranya tumpul.
  2. Grafting tape:  Biasanya orang akan gunakan parafilm.  Disebabkan tidak tahu nak beli kat mana, saya pernah guna jalur plastik yang dikerat daripada beg plastik tebal terpakai semasa membeli tanah, cable tie dan sekarang tengah guna cling wrap (polyethylene) yang biasa digunakan untuk mengekalkan kesegaran sayur dan lauk tak habis makan.  Jalur plastik kurang elastik dan susah sikit nak balut, tapi masih boleh digunakan. Vaneer grafting saya yang berjaya adala dibalut dengan plastik ini.  Cable tie boleh mengekalkan posisi scion dengan baik tetapi mendedahkan bahagian cantuman.  Bagi membaiki kelemahan ini, saya telah membalutkan scion dengan surat khabar lembap.  Dan sekarang ada dua ranting yang dicantum telah mula mengeluarkan daun baru.  Untuk cling wrap, saya telah keratkan cling wrap kepada lebar 1" dan digunakan untuk membalut cantuman, rasa puas hati dengan menggunakannya, sebab ia elastik, fleksible dan senang nak digunakan.
Cling wrap yang digunakan.  Saya telah mengerat keluar cling wrap dengan lebar 1" dan digunakan untuk membalut bahagian cantuman.

Sekarang saya banyak menggunakan Z grafting untuk cantuman memandangkan saya dapati Z grafting dapat memberikan cengkaman yang kuat dan scion dapat "menyepit" pada pokok penanti dengan ketat sebelum dibalut dengan cling wrap.

Gambar atas menunjukkan cantuman yang telah berjaya dengan menggunakan Z grafting.  Tunas baru akan tumbuh selepas lebih kurang 2 minggu.  Cantuman ini telah diikat dengan cable tie, jadi, saya telah balutkan scion dengan surat khabar lama untuk mengekalkan kelembapannya selain disungkup dengan beg plastik seperti yang terdapat pada sebelah kiri cantuman.  Sekiranay cantuman tak jadi, dalam masa 1 minggu - 2 minggu, scion akan bertukar hitam dan mati.


Perhatikan tempat cantuman yang telah bercantum dan diikat dengan cable tie, parutnya akan lebih kurang berbentuk huruf Z bagi Z grafting.

Cantuman sisi pada pokok mangga yang telah dibuat pada tahun lepas.  Parut masih boleh diperhatikan lagi.

Cantuman sisi pada pokok fig daripada keratan yang dibeli.  Saya tak pasti sama ada saya telah betul -betul memahiri teknik cantuman ataupun pokok fig memang senang nak dicantumkan.  Saya telah mencuba pada 2 pokok dan kedua-duanya telah tumbuh daun muda menunjukkan cantuman telah berjaya.

Cara membuat Z grafting

1.  Mula-mula, buatkan bentuk baji pada scion.  Seeloknya dihiris sekali pada setiap belah bagi membolehkan permukaan cantuman yang licin.  


2.  Kemudian, saya akan membelah salah satu belah secara memanjang menghala ke pucuk scion untuk mewujudkan bentuk lidah dengan panjang lebih kurang 1cm supaya boleh mencengkam pada pokok penanti.  

3.  Perhatikan paper knife yang digunakan.  Matanya boleh dipatah dan dibuangkan sekiranya telah tumpul.


2.  Pokok penanti dibuangkan pucuknya.  Kemudian dibelah dua, seeloknya sebelah tebal dan sebelah nipis.  Sebelah yang tebal dihiris serong.  Seeloknya pokok penanti yang dipilih masih muda dan tidak keras.  Bila sudah keras, ia adalah kurang fleksible apabila kita hendak menyelit masuk scion.

4.  Scion yang telah disediakan diselit masuk ke dalam pokok penanti.  Bahagian berlidah kena cantum dengan bahagian yang serong pada pokok penanti. Bila dah dicantumkan, ia akan berbentuk seperti huruf Z.

5.  Cantuman Z grafting yang dibuat  dibalut dengan cling wrap.

6.  Sungkup/ tutup dengan beg plastik untuk mengekalkan kelembapan dan tunggu selama 2 minggu untuk mengetahui sama ada cantuman jadi atau tidak.

Update pada 19/7/2016

 Cantuman sisi pada pokok tin yang telah berjaya dan mula mengeluarkan daun baru.

Cantuman baji dan cantuman sisi yang telah berjaya pada root stock yang sama.


Percubaan cantuman sisi pada pokok mangga ( 4 pohon root stock telah dicantumkan)
Cantuman sisi pada pokok mangga selepas seminggu cantuman dijalankan.
 Scion telah mula menukar warna menjadi hitam menunjukkan peluang untuk cantuman berjaya semakin rendah.

 
Scion yang masih hijau selepas seminggu menunjukkan scion masih sihat dan peluang cantuman untuk bergabung meningkat.  Walaubagaimanapun, kena tunggu juga hingga minggu kedua dan ketiga baru dapat dipastikan sama ada cantuman ini adalah betul-betul berjaya.

Scion mula layu dan menjadi hitam selepas 8 minggu cantuman dilakukan ( Dicantum pada 9/7/16, gambar diambil pada 2/9/16).  Sebelum ini, scion ini kekal hijau walaupun layu dan berkedut sedikit namun tunas baru gagal berkembang.  Apabila root stock yang dicantas telah kering dan mati, scion pun mula layu dan mati.

Pada cantuman sisi kali ini, hanya satu pokok mangga dengan scion melaka delight yang telah berjaya dicantumkan seperti gambar di bawah.
                                                
 Scion yang telah keluarkan pucuk muda dan lokasi cantuman yang telah sembuh dengan wujudnya parut.

Namun rootstock telah mengalami masalah mereput pada pangkal dan menyebabkan pokok ini telah mati.

Kemaskini pada 18/3/2019 
Bagi menjawab soalan tuan unknown yang ingin tahu mengenai berapa lama scion boleh bertahan setelah diambil daripada pokok induk yang ditanya pada Januari 2019, saya hanya dapat jawab di post ini kerana saya menghadapi masalah tidak boleh tulis respond di catatan untuk post ini.

Pada pendapat saya dan mengikut pengalaman saya yang tak seberapa ini, scion sekiranya diuruskan dengan baik, iaitu dikekalkan dalam keadaan segar dengan kelembapan yang mencukupi, ia boleh bertahan selama 2 minggu, kalau dimasukkan dalam peti sejuk dalam keadaan kedap udara dengan kelembapan dikekalkan, boleh tahan lagi lama.  Scion saya yang lama yang pernah saya grafkan  adalah scion keratan fig yang dibeli yang mengambil masa selama 2 minggu untuk sampai ke tangan saya.  Jadi, sepatutnya dengan pengurusan yang betul, scion memang boleh bertahan lama, cuma mungkin kebarangkalian untuk graft hidup akan menjadi kurang, maklumlah dah lama tak dapat nutrien dari induk, jadi, kalau boleh, graflah secepat mungkin.  Harap ini dapat menjawab soalan tuan unknown.