Jumaat, 21 April 2023

KAEDAH MENCAMBAHKAN BIJI PRUNE

 Prune variati Ruby Sun telah dibeli dari hypermarket apabila pergi beli barang dapur. Selepas prune dimakan, bijinya telah dikeringkan dan diketuk pecah dengan menggunakan lesung.  Saya hanya dapat simpan satu biji sebab yang lain telah dibuang oleh anak.

Biji benih tersebut telah dimasukkan dalam beg plastik aiskrim berserta dengan kertas tisu lembap dan dibiarkan dalam peti sejuk. 

Kalau ikut rekod, saya telah letak dalam peti sejuk pada 26/3/2023 dan apabila diperiksa pada 21/4/2023, iaitu sehari sebelum hari Raya, biji benih telah mengeluarkan akar putih menandakan telah sesuai untuk disemai dalam pasu.


Biji benih prune ini akan disemai semasa cuti Raya ini dan harap boleh bercambah seperti pokok lain.

Rabu, 5 April 2023

PENGALAMAN MENANAM ORKID DENDROBIUM

Orkid Dendrobium yang ditanam merupakan benih orkid yang saya ambil dari kampung pada beberapa tahun lepas. Disebabkan tiada masa menjaga, benih orkid tersebut hidup dalam keadaan sentiasa kena stress air dan tanpa baja sebab hanya digantung bawah pokok tanpa penjagaan yang rapi.  

Pada tiga tahun lepas, saya telah mengambil keputusan untuk mengalihkan benih orkid tersebut balik ke rumah saya dan ditanam di luar balkoni.  Pada mula mula, saya menggunakan media kayu arang bercampur dengan sphagnum moss dan ditanam dalam bakul sayur kecil yang diletakkan atas tong minyak 3kg. Tujuan alaskan atas tong minyak adalah untuk menakung air siraman dan air baja bagi mengekalkan lantai balkoni sentiasa kering dan untuk mengelakkan air baja daripada terkena kompresor penghawa dingin.

Saya telah menyiramkan air baja AB dengan kepekatan yang rendah setiap hari.  Apabila benih tersebut semakin membesar dan tidak muat dalam bakul sayur kecil, saya telah menukarkan kepada pasu orkid plastik yang lagi besar dengan kekalkan media sediada dan tambahkan dengan leca clay pebbles.  Dengan air baja yang sentiasa mencukupi, pokok telah membesar dengan baik dan akhirnya pokok orkid ini telah mengeluarkan bunga beberapa hari sebelum tahun baru cina tahun ini.  Disebabkan jarang terkena air hujan, bunga orkid tersebut amat tahan dan sehingga kini masih adalah bunga yang tidak layu.