Sabtu, 31 Oktober 2015

PERKONGSIAN KAEDAH UNTUK MENGAWAL LALAT BUAH (Bactrocera sp.)

Lalat buah merupakan sejenis serangga kecil bersaiz seperti lalat rumah yang boleh merosakkan buah-buahan yang ditanam dengan cara bertelur atas kulit buah yang matang.  Buah di kebun saya yang selalu menjadi mangsa adalah belimbing, pisang, nona dan betik.  Spesies lalat buah yang terdapat di Malaysia adalah daripada jenis Bactrocera sp, seperti Bactrocera papayae (Drew & Hancock) dan Bactrocera carambolae (Drew & Hancock).

Menurut panduan menanam mangga Mardi, kitaran hidup lalat buah adalah kira-kira 3 minggu, iaitu peringkat dewasa, telur (2-3 hari), ulat (8-12 hari), dan kepompong (4-6 hari).  Peringkat telur dan ulat terjadi di dalam buah manakala peringkat kepompong terjadi di dalam tanah setelah buah gugur.  
Menurut kajian UPM mengenai Bactrocera carambolae (Drew & Hancock) yang dibela dengan buah jambu batu, kitarannya adalah telur 1.16 ± 0.00 hari, larva 12.02 ± 0.13 hari dan kepompong 7.03 ± 0.08 hari sebelum dewasa muncul. Lalat buah jantan akan hidup selama 21.97 ± 2.69 hari dan betina 19.19 ± 1.50 hari. 

Memandangkan lalat buah ini merupakan perosak yang akan merosakkan hasil kebun, maka, kita kena lakukan sesuatu untuk mengawal populasinya di sekitar kebun selain kena rajin menyampulkan buah dengan beg plastik.  Kaedah kawalan lalat buah yang paling senang dan murah bagi saya adalah melalui perangkap lalat buah.   Untuk kaedah perangkap, kita kena pergi belikan ubat umpannya yang merupakan feromon.  Feromon ini akan menarik lalat buah jantan yang miang untuk masuk ke dalam botol kononnya dalam botol ada lalat buah betina yang sedang menanti.  Bila jantan telah diperangkapkan, maka, betina di luar tidak dapat mengawan dan tidak dapat bertelur.  Dan dengan tu, populasi lalat buah akan dikurangkan.  Ubat umpan ini boleh dibeli di kedai jual racun pertanian dengan harga RM14 sebotol (kalau tak silap). 

Ubat umpan lalat buah yang terdapat pada pasaran.

Kaedah menyediakan perangkap lalat buah
1.  Bahan yang diperlukan adalah botol air mineral/ minuman berkarbonat 500ml, 1.5L, dawai/ skru driver bunga kecil dan tali rafia/ dawai halus.

2.  Panaskan dawai/ skru driver bunga kecil pada api.

3.  Tebok lubang pada botol 500ml di bahagian atas botol.  Saiz lubang lebih kurang dalam 3mm diameter.  Perhatian kena diambil ketika tebok lubang sebab kalau lubang yang ditebok kecil sangat, lalat buah tak dapat masuk, kalau terlampau besar, lalat buah boleh masuk dan keluar semula.

4.  Lepas dah siap tebok lubang, ikatkan tali rafia/ dawai halus pada bahagian lehel botol yang akan digunak untuk menggantung perangkap pada pokok dan perangkap dah kira siap.  

5.  Sekarang kena sediakan bumbung untuk perangkap yang dibuat supaya tidak masuk air ketika hujan.  Keratkan botol 1.5L kepada dua bahagian.  Ambil muncung botol untuk digunapakai.  

6.  Titiskan beberapa titis ubat umpan lalat buah ke dalam botol 500ml.  Tutup penutup botol dan masukkan tali melalui muncung botol 1.5L.  Tutup penutup botol 1.5L dan perangkap telah sedia untuk diguna.

7.  Gantungkan perangkap di lokasi yang sesuai seeloknya di sekeliling kebun supaya lalat buah tertarik ke luar kebun dan bukannya dalam kebun.  Namun, saya hanya gantungkan di bawah pokok buah sebab serangan tupai terhadap perangkap ini.  Banyak perangkap saya telah digigit dan dirosakkan oleh tupai apabila gantung di tepi pagar.


Perangkap lalat buah yang telah disiapkan dan digantung pada pokok buah.  

Lalat buah telah tertarik dengan umpan dan cuba masuk ke perangkap.

Lalat buah sedang memasuki ke dalam perangkap.

Lalat buah telah terperangkap dalm perangkap dan tidak dapat keluar.

Lalat buah yang telah mati dalam perangkap.  Perhatikan ada seketul batu kecil yang tersumbat pada tapak botol, itu merupakan tempat gigitan tupai yang terpaksa disumbat batu supaya perangkap masih boleh digunakan lagi.


Perangkap kena diperiksa sesekali apabila ada kelapangan, ubatnya perlu diisi sekiranya didapati lalat buah dah tak tertarik dengan perangkap.  Apabila isi ubat, bangkai lalat buah kena dibuangkan.  Tetapi saya jarang isi ubat dengan kaedah menitiskan ubat masuk botol, biasanya sekali titis, boleh digunakan berbulan-bulan.

Beginilah kaedah kawalan lalat buah DIY yang senang dan murah untuk dikongsi bersama.  





Tiada ulasan: