Jumaat, 9 Oktober 2015

KAEDAH TUT POKOK FIG MENGGUNAKAN BOTOL AIR MINERAL

Seperti sedia maklum, kaedah tut ni mempunyai seribu satu cara.  Tiada cara yang salah, saya anggap semua cara yang dapat berjaya menghasilkan  pertumbuhan akar merupakan cara yang betul, cuma masa handling semasa kerja tut tu dan material digunakan untuk tut yang nampak berbeza, konsep tut tetap sama, kopek kulit, gores untuk buangkan cambium, bubuh hormon akar dan balut dengan media.

Hari ni, saya kongsikan sedikit mengenai eksperimen saya tut pokok fig menggunakan barang-barang terpakai, iaitu botol air mineral.  Benda ni tak memerlukan modal, cuma kita kena pergi kutip kat tepi jalan atau dalam tong sampah.  Kaedah tut ini adalah secara terbuka, jadi, kita kena periksa kelembapan tanah supaya sentiasa lembap. 

Kaedah Tut Pokok Fig Denan Botol Air Mineral.
  • Botol mineral yang ideal adalah jenis yang 1.5l sebab isipadu besar sikit, botol 500ml pun boleh pakai, tiada masalah, 
  • Untuk botol 500ml, boleh tut secara melintang dan bukannya menegak macam botol 1.5L.
  • Botol boleh dikerat dua.  Bahagian atas dan bawah pun boleh dipakai.   
  • Untuk bahagian tapak botol, saya tembokkan lubang untuk keluar air keluar.  Bahagian muncung botol boleh terus dipakai sebagai tempat air keluar.  
Bahagian tapak botol yang telah dibelah dan digunting lubang.  Perhatikan lubang air juga ditebok pada bahagian bawah supaya air boleh mengalir.
  • Gunting botol tersebut dan buatkan lubang di kawasan yang sesuai supaya dahan boleh dimasukkan ke dalam botol tersebut.  Lubang untuk masuk dahan seharusnya fit dengan dahan sekiranya tut nak dibuat atas pokok supaya bekas boleh melekat.   Boleh dicuba dulu dengan selit masuk ke dahan yang nak ditut.
  • Kawasan yang nak ditut dilukakan dengan samaada buangkan kulitnya/ goreskan untuk lukakan.  Saya cuma pakai pisau dan kelar secara memanjang beberapa jalur pada kawasan kulit yang nak ditut.
  • Sapukan serbuk penggalak akar.
  • Masukkan botol air yang telah digunting sebelah pada dahan.
Dahan diselit masuk ke dalam botol air mineral.
  • Lekatkan bahagian botol yang digunting dengan tape ataupun staple.
  • Isikan tanah yang lembap dalam botol sehingga lebih kurang penuh.  Tanah jangan sama paras dengan botol, sebab bila menyiram air, tanah senang keluar dari botol.
  • Permukaan botol yang terbuka bolehlah ditutup dengan aluminium foil sekiranya nak.  Keliling botol boleh dibalut dengan plastik / pembalut untuk mengelak cahaya daripada masuk ke dalam botol.  Bila ada cahaya masuk, tepi botol senang tumbuh lumut, bila dah tumbuh lumut, susah kita nak tengok samada akar dah tumbuh atau belum.
Botol boleh ditutup dengan aluminium foil atau apa-apa kertas supaya cahaya matahari tidak tembus dan menyebabkan lumut tumbuh.

Contoh tut dengan botol air 


 Pokok black genoa yang ditut daripada dahan dekat dengan pangkal pokok.  Perhatikan bahawa staple telah digunakan untuk mencantumkan bahagian botol yang telah digunting.

 Inca gold yang ditut dengan menggunakan muncung botol.

 Inca gold ditut dengan bahagian tapak botol.

Tut sytle kek lapis dengan botol air.




Tut dengan menggunakan botol air 500ml.  Isipadu tanah yang dimasukkan adalah sedikit saje.


Tut dengan seluruh botol air mineral 1.5 L yang diterbalikan dengan bahagian muncung dijadikan lubang air.

Tut dengan botol air mineral atas dahan.  Kayu penyokong diperlukan untuk dahan yang condong supaya tidak patah terus.

Anak pokok tut yang telah dikerat dan sedia untuk disemai.  Pita pelekat digunakan untuk melekatkan bahagian botol yang telah digunting.

Black genoa yang ditut dengan botal air mineral 500ml dan telah disemai dalam polibag.



Begitulah kaedah mentut pokok fig menggunakan botol air mineral.  Sebenarnya, selain botol air mineral, semua bekas plastik lain pun boleh digunakan mengikut kreativiti masing-masing.  Janji induk pokok fig dapat menampung berat tambahan daripada media yang digunakan dan tidak bengkok atau patah pinggang.   Saya pernah gunakan tong minyak 5L untuk tut pokok fig, tetapi memerlukan sokongan daripada kayu penyokong, sebab berat sangat, terutamanya apabila angin kencang.  Sekarang saya akan tut menengok kepada saiz dahan, kalau dahan besar, maka, saya akan cuba gunakan botol yang besar bagi membolehkan akar yang tumbuh nanti boleh menampung keperluan tut apabila dikerat untuk ditanam dan tut kurang stress bila ditanam.


 
Contoh dahan yang ditut dengan cawan plastik.  Muncung telah ditutup dengan aluminium foil untuk mengekalkan kelembapan dan tepi ditutup juga untuk mengelak cahaya matahari.




Tut dengan cawan air mineral pada dahan pokok .  Tetapi isipadu untuk menampung tanah adalah kecil.

Tut Autralia fig berdaun besar dengan tong minyak 5L.  Kayu penyokong kena disediakan untuk menyokong berat tanah dalam tong minyak supaya induk tidak patah pinggang apabila angin kencang tiup. Tut ini dibuat pada bahagian dekat pucuk pokok yang jauh dari pangkal.  Tujuan guna tong minyak adalah untuk memastikan anak tut boleh hidup setelah dikerat untuk semai.

Tiada ulasan: