Ahad, 5 Jun 2022

PENGALAMAN MEMBUAT TONG KOMPOS DIY

 Saya telah mendapat idea untuk membuatkan tong kompos DIY dengan menggunakan tong minyak masak 5kg apabila ada yang sudah habis digunakan. Antara bahan yang saya gunakan adalah 2 tong minyak masak 5 kg yang sama jenama.  Tujuan menggunakan tong minyak yang sama jenama adalah supaya tong minyak adalah muat / fit antara satu sama lain bila digabungkan.

Mula- mula potong tong minyak 1 pada paras pangkal muncung yang condong sehingga tong minyak menjadi satu bekas tanpa permukaan yang condong dengan mulutnya terbuka luas. Ambil surat khabar lama untuk lap kering minyak yang masih melekat pada permukaan dalam tong minyak. Tong minyak 1 ini akan digunakan sebagai tapak kepada tong minyak 2.  Fungsi utama adalah tong minyak 1 adalah untuk menadah air baja organik yang terhasil dari penguraian bahan organik atau sisa dapur dari tong minyak 2.

Bagi tong minyak 2, muncung tajam dengan penutup dibiarkan.  Beberapa lubang akan ditebuk pada penutup supaya air baja dari penguraian dapat mengalir keluar.  Untuk tong minyak 2 , bahagian pangkal akan dikerat buka secara hati-hati untuk membentuk penutup tong kompos.

Apabila sudah siap dikerat, terbalikkan tong minyak 2 dan masukkan bahagian muncung tajam dengan penutup yang telah ditebuk ke dalam tong minyak 1 dan tong kompos DIY telahpun siap.  Boleh guntingkan sedikit tepi tong minyak 1 untuk memuatkan tong minyak 2 dengan lebih ketat dan tidak senang keluar.

Tong ini sesuai diletak di dapur dan boleh masukkan sisa dapur berunsur tumbuhan seperti kulit buah-buahan, sayuran, kulit bawang dan sebagainya.  Biasanya saya akan menggunting sisa dapur ini untuk mengecilkan saiznya supaya proses penguraian dapat berlaku dengan lagi berkesan. Untuk rumah saya yang hari hari memasak, tong kompos ini mengambil masa seminggu untuk dipenuhkan.  Apabila sudah penuh, saya akan alihkan tong ini keluar balkoni dan dibiarkan di situ sehingga proses penguraian selesai.  Proses ini dijangka mengambil masa 3 bulan.  

Ketika proses penguraian berlaku, cecair atau air baja akan terhasil, air baja ini akan mengalir ke dalam tong minyak 1 melalui penutup tong minyak 2 yang telah ditebuk. Apabila cecair baja dah penuh dalam tong minyak 1, boleh diangkat dan dituangkan ke dalam bekas lain untuk digunakan sebagai baja.

  Sebagai peringatan, pastikan bekas simpanan tidak ditutup secara kedap udara kerana masih akan berlaku lagi proses penguraian yang akan menghasilkan gas.  Cecair baja ini perlu dicampur dengan air untuk ditawarkan sebelum digunakan.  Nisbah satu ml kepada berapa L air saya belum dapat sifirnya lagi. Itu kena tunggu lepas baja yang dibeli habis digunakan baru akan saya gunakan.

Dan selepas 3 bulan, apabila sudah tiada lagi cecair yang mengalir keluar dan sisa dapur telah menjadi hitam dan hilang rupa bentuk asalnya, maka, kompos telahpun dihasilkan. Kompos ini boleh digunakan untuk dicampurkan dalam tanah untuk menambah kesuburan tanah.

Pada masa sekarang, dengan keadaan baja semakin naik harga, mungkin kaedah ini dapat membantu untuk mengurangkan sedikit kos dan menukarkan sisa yang tidak diperlukan kepada baja organik untuk digunakan semula.   Bagi saya, tong kompos ini amat sesuai dengan saya yang langsung tiada tempat untuk membuat kompos dengan kaedah konvensional yang memerlukan kawasan yang besar kerana duduk di pangsapuri.

Tong kompos DIY yang dibuat dengan 2 tong minyak.
Muncung tong minyak 2 dengan penutup ditebuk dimasukkan ke dalam tong minyak 1.  Cecair baja akan mengalir keluar dan disimpan dalam tong minyak 1.
Pandangan sisi tong kompos DIY.
Tong kompos dengan keadaan penutup dibuka. Saya telah tambahkan roti yang berkilat ke dalam tong untuk dijadikan kompos.


Tiada ulasan: