Khamis, 28 Mac 2019

Pengalaman menanam pokok pisang tanduk.

Pisang tanduk merupakan salah satu pisang kegemaran saya.  Saya telah mendapat benih pisang tanduk ini dua tahun lepas di Segamat di rumah rakan satu pejabat di rumah beliau.  Pokok pisang tanduk pertama telah berjaya membesar dan membuahkan pisang. Malangnya pisang tersebut telah menjadi makanan monyet dan saya satu batang pun tidak dapat. Ini merupakan salah satu benih daripada pokok asal.  Saya telah kekalkan benih ini pada tempat asal pokok asal dan mengalihkan yang lain. Menurut tips daripada orang lama, benih pisang tanduk tidak akan hidup subur ditempat asal pokok induknya dan perlu dialihkan ke lokasi yang lain supaya boleh terus hidup subur. Tetapi,  saya mempunyai satu teori iaitu sekiranya hanya satu sahaja yang ditinggalkan, sepatutnya semua nutrien akan diperoleh oleh benih ini tanpa persaingan , maka benih ini akan besar dengan sempurna dan membuahkan hasil.   Maka,benih ini telah sengaja ditinggalkan untuk mencuba nasib.  Pokok ini tinggi lebih kurang dalam enam kaki dengan keadaan pokok yang sederhana besar,ukur lilit batang dalam anggaran 12 inci.  Bagi saya, ini merupakan salah satu variety pisang yang sesuai ditanam dikeliling rumah sebab saiz yang sederhana dan pertumbuhan adalah kurang aggresif berbanding dengan pokok pisang seperti pisang nipah dan embum yang tinggi dan besar.   Pokok ini telah dibaja sebulan sekali dengan baja organik dan kimia bergantung kepada apa yang saya ada ketika membaja.  Daun tua yang telah kering dan layu akan dibuang sebulan sekali supaya pokok nampak kemas dan bersih.  Benih lain yang tumbuh daripada pangkal lama juga dibuang supaya hanya satu pokok sahaja yang kekal. Pokok pisang ini telah mengeluarkan jantung pada Januari ini.  Saya telah belajar daripada pengalaman lepas dan telah sampulkan pisang ini dengan t shirt lama.  Menurut buku penanaman pisang keluaran Mardi, pisang tanduk akan matang dalam tempoh lebih kurang 3 bulan.  Maka, pada hujung bulan Mac, saya telah menebang pisangnya dan sekarang tengah diperam supaya cepat masak.  
Tips daripada emak saya, sekiranya ingin masak dengan cantik, pisang tanduk boleh dibungkus dengan surat khabar supaya warna kuning pada kulitnya adalah sekata dan cantik.

 Pisang tanduk yang dibungkus  dengan T Shirt.  Didapati dapat mengelakkan gangguan monyet selain mempunyai kulit yang lebih licin dan cantik.
 Tag telah menunjukkan pisang telah disampulkan pada 19 Januari dan saya telah menebang pisang ini pada 23Mac.  Pisang tanduk telah mengambil masa lebih kurang 10 minggu untuk menjadi matang.
 Keadaan pisang apabila dibuka sampulnya.  Hanya satu pisang yang telah rosak mungkin dipatahkan oleh monyet, yang lain masih dalam keadaan cantik dan elok.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih atas perkongsian anda! Anda boleh pesan banana berangan dari GoFruits Malaysia.