Hari ini luar topik cucuk tanam sikit, saya nak ceritakan tentang pengalaman keluarga saya mengeram telur ayam kampung semasa saya masih dalam zaman remaja. Pada masa sekarang, semua orang mengeram mesti nak pakai incubator, seolah-olah tak ada incubator, tak bolehlah buat business ayam kampung dah. Balik kepada zaman remaja saya yang langsung tidak tahu apa itu incubator disebabkan tiada pendedahan dan tiada internet untuk cari maklumat, mak saya menggunakan cara yang bagi saya amat kreatif untuk menetaskan anak ayam kampung pada kuantiti untuk bisness kecilan pada masa yang sama seperti yang dilakukan oleh incubator komersil. Cara mak saya senang saje, iaitu menggunakan sifat semula jadi ayam betina yang mengeram selagi anaknya tak tetas. Prosesnya adalah seperti dibawah:
- Biasanya kita akan mengumpulkan telur ayam kampung dan simpan di lokasi yang redup dan sejuk di rumah selama seminggu lebih apabila bilangan telur yang dikehendaki sudahpun mencukupi. Biasanya seekor ayam betina dalam 10 biji telur, bergantung kepada saiz badannya, yang penting, telur itu semua boleh dilitupi oleh badannya bagi membekalkan haba.
- Pada masa yang sama, kena standby ayam betina yang telah menunjukkan sifat mengeram (broody hen). Katakan nak mengeram 30 biji telur, kena ada 3 ekor ayam betina. Sebab ayam ni bertelur pada masa yang berbeza, jadi ia akan menunjukkan sifat tu pada masa yang berbeza juga. Cara mak adalah gunakan telur kosong daripada eraman dulu yang tak jadi anak sebagai umpan supaya ayam betina mengeram disarangnya sehingga mendapat cukup 3 ekor ayam betina yang mengeram, biasanya dalam masa seminggu memang akan cukup jika bilangan ayam betina banyak. Setelah bilangan ayam betina sudah cukup, labelkan telur yang telah dikumpulkan dengan tarikh eraman supaya senang dikenalpasti.
- Pada masa yang sama, kenalpasti mana satu betina yang pandai mengeram dan menjaga anak ketika anak mula menetas, iaitu betina yang pandai untuk pusing-pusingkan telur dan memastikan anaknya tidak terhimpit oleh telur lain ketika menetas. Ayam betina ni lah yang akan menjadi incubator pada masa akan datang dan perlu dibela dengan elok.
- Masukkan telur bernas ke dalam sarang ayam betina dan biarkannya kerja selama lebih kurang 21 hari.
- Pada masa anak ayam mula menetas, baru kerja kita mula, kita kena rajin untuk pergi periksa anak ayam kampung yang menetas bagi memastikan kadar penetasan yang tinggi. Pada selang masa 1-2 jam, kenalah ke sarang ayam betina untuk tengok sama ada anak dah menetaskah belum, sekira dah menetas, kena keluarkan, kalau yang dah patuk kulit telur tapi tak keluar-keluar, biasanya kita akan cuba kopekkan kulit telur kat bahagian dipatuk bagi memberi ia peluang untuk keluar. Sekiranya dah diperiksa beberapa kali masih macam tu, kita boleh kopekkan kulit telur yang dekat dengan kantung udara dengan hati-hati. Sekiranya jumpa darah kena henti, maksudnya anak belum cukup masa lagi, sekiranya kering saje, boleh kopek dan buang kulit pada kantung udara dan tarik keluar kepala anak ayam tersebut. Kebanyakan kes ini merupakan kes malposition pada kepala anak ayam yang menyebabkannya tidak dapat keluar dari telur, jika kita bantu ia sikit, ia akan dapat diselamatkan.
- Setelah semua anak ayam dah menetas, biasanya akan mengambil masa 3-4 hari, ayam betina yang mengeram itu akan dikurungkan selama 2 minggu lebih sehingga ia dah sedar dan hilang tabiat mengeram.
- Sementara tu, anak ayam yang dikeluarkan kena dimasukkan ke dalam kotak perindukan yang disediakan. Kat rumah saya, kita gunakan kotak kayu dengan wire mess BRC saje, hanya 1 permukaan kecil ade brc, yang lain semua papan dan dipasang dengan mentol. Tujuan brc adalah untuk membolehkan pengudaraan. Sediakan air dan makanan starter dalam kotak tu dan anak ayam akan berada dalam kotak selama sebulan sehingga ia dah tumbuh bulu kasar. Ketinggian mentol boleh diselaraskan dengan cara selaraskan kabelnya supaya anak ayam tak terlalu panas atau terlalu sejuk. Bila sejuk, anak ayam akan kumpul kat mentol, bila panas ia akan kumpul kat tepi muka kotak dengan brc.
- Bila anak ayam dah tumbuh bulu kasar dan tidak memerlukan mentol lagi, kita dah boleh lepaskan anak ayam keluar dari kotak dan jadikannya free range kat luar.
- Makanan akan diberi 2 kali sehari, iaitu sekali pada sebelah pagi dan sekali pada sebelah tengahari. Yang diberi adalah campuran dedak padi, kopra cake, roti kering dan jagung hancur. Roti kering merupakan roti yang dijemur kering hari daripada bakery. Boleh pergi bakery untuk beli ikut timbang kilo. Kadang-kadang akan dapat roti yang baru expire dan yang masih elok, so, kita akan simpan dalam peti sejuk dan makan roti tu juga. Bila nak makan, baru steamkannya untuk panaskan.
- Pada sebelah malam, kena ke reban ayam untuk pastikan semua anak ayam tidur di tempat yang sepatutnya, alihkan anak ayam ke tempat yang sesuai sekiranya perlu. Biasanya anak ayam akan tenggek kat favorite spotnya, pernah sekali ada anak ayam yang tenggek tepi drum yang diguna untuk tadah air hujan, nak tak nak tiap-tiap malam kena pergi alihkannya ke tempat lain, kalau tak, sebelah malam, kadang-kadang ia tersilap langkah dan mati lemas.
- Setelah diternak selama masa 5-6 bulan, ayam tersebut akan sedia untuk dijualkan. Kita akan tinggalkan yang elok untuk dijadikan induk dan dijualkan yang lain.
- Dalam masa 2-3 tahun, ayam jantan baru akan dimasukkan ke dalam kelompok ayam sediaada, saya masih ingat lagi mak akan dapatkan ayam jantan laga/ sabung yang kualitinya baik untuk dimasukkan ke dalam kelompok supaya adalah kacukan gene baru ke dalam kelompok tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan