Selasa, 30 Jun 2015

MASALAH LEAF RUST PADA DAUN ANGGUR, FIG & BUNGA KEMBOJA (KARAT DAUN??)

Masalah leaf rust yang diterjemah terus ke bahasa Melayu adalah karat daun.  Leaf rust merupakan nama umum untuk penyakit kulat pada daun tumbuhan yang melibatkan pelbagai jenis kulat/ fungus.  Mengikut pemahaman saya daripada bacaan internet, species kulat yang berlainan akan menjankiti spesies pokok yang berlainan, iaitu anggur akan mempunyai kulatnya yang tersendiri dan berbeza dengan kulat yang menjangkiti pokok fig dan begitu juga dengan bunga kemboja.  Barangkali tanaman ini merupakan tanaman eksotik yang ditanam di iklim Malaysia yang panas dan lembap, maka, daun pokok-pokok ini memang senang ditumbuh kulat leaf rust. 

Apabila kita dapati terdapatnya bintik berwarna kuning/ coklat perang seperti warna karat pada besi pada permukaan daun yang menghala ke langit, itu menunjukkan permulaan jangkitan pada daun.  Lama -kelamaan, bintik akan membesar dan daun akan menguning jika dibiarkan dan gugur.  

Jika diperhatikan di bawah permukaan daun yang menghala ke tanah, kita akan dapati terdapatnya bintik-bintik kulat yang membonjol keluar dari daun dan seolah-olah bersebuk,  itulah kulat leaf rust dengan sporanya.  Apabila angin meniup, spora akan terbang bersama angin dan melekat pada daun baru dan mula tumbuh apabila keadaan adalah sesuai untuknya, iaitu lembap dan basah.


Daun anggur yang telah dijangkit oleh leaf rust.

Daun fig yang dijangkiti oleh leaf rust.

Daun bunga kemboja yang dijangkiti oleh leaf rust.

Cara kawalan yang biasa adalah menggunakan racun kimia iaitu menyembur tumbuhan dengan racun kulat.  Memandangkan saya bukannya peminat racun kimia, jadi, saya telah memilih untuk menggunkan kaedah tanpa kimia, iaitu kawalan leaf rust dengan mengurangkan keadan lembap dan basah yang sesuai untuk pertumbuhannya dengan cara:

  1. Membuangkan daun yang telah teruk berkulat.  Kebanyakan daun yang dijangkiti adalah daun tua, jadi saya tak ada masalah untuk membuangkannya.
  2. Menambahakan pengudaraan pada pokok yang ditanam dengan membenarkan jarak yang ideal antara pokok selain mencantaskan dahan yang tumbuh rapat supaya pengudaraan boleh berlaku. 
  3. Selain itu, pastikan siram air pada sebelah pagi untuk membolehkan air yang terkena pada permukaan daun dapat kering dengan cepat sebab spora memerlukan kelembapan untuk tumbuh menjadi kulat.  Elakkan menyiram pada sebelah petang atau malam sebab air tidak dapat kering pada daun dan kulat senang berjangkit.  Kalau boleh, elakkan menyiram air terkena daun bagi mengurangkan masalah ini.  
  4. Tumbuhan diletak di bawah bumbung seeloknya disiram pada tanah dalam pasu dan bukannya pada daun supaya daun sentiasa kering.
  5. Pastikan pembajaan adalah mencukupi supaya tumbuhan boleh mengeluarkan daun baru untuk menggantikan daun lama yang telah berkulat dan dibuang dan mengelakkan tumbuhan daripada stress.

Untuk pokok anggur, saya telah membuangkan semua daunnya pada kali ini dengan 2 tujuan, satu untuk membuang kulat dan kedua untuk membolehkan anggur berbunga memandangkan saya memang lama tak buang daunnya.

Untuk pokok fig saya yang ditanam di bawah bumbung kaki lima rumah, saya hanya mencantas daun yang telah teruk dan menyiram air pada pangkal pokok tanpa air terkena pada daun untuk mengurangkan jangkitan.

Untuk bunga kemboja, saya hanya buangkan daun yang teruk sahaja.

Ketiga-tiga pokok saya ini didapati masih tumbuh dengan elok walaupun dijangkiti dengan leaf rust, barangkali sudah besar dan daun dah banyak.  Apa yang saya buat cuma mengawal supaya leaf rust taklah teruk sangat.  Memandangkan adalah mustahil untuk saya menghapuskan kulat ini, maka, saya memilih untuk mengawalnya supaya pada tahap jangkitan minima dan pokok-pokok saya boleh co-exist dengan penyakit leaf rust ini.u

Khamis, 25 Jun 2015

PERCUBAAN UNTUK MENYEMAI KERATAN ROSE DALAM BEG PLASTIK

Saya telah mendapat idea daripada cara menyemai keratan fig dalam beg plastik dan telah mencubakan kaedah tersebut pada keratan rose yang diambil. Keratan yang dimasukkan ke dalam beg plastik perlu dibuang daun sehingga ke pangkal mata daun.  Kalau tidak, bahagian pangkal daun akan gugur dalam beg plastik dan berkulat.  Ini akan merosakkan keratan rose.  Ini adalah apa yang berlaku pada batch pertama saya, sekarang hanya tinggal satu keratan yang masih bertahan. Di sini saya kongsikan perkembangannya.

Gambar diambil pada 23/5/15.

   Keratan pada 30/5/2015

Keratan rose pada 15/6/2015.

Perkembangan pada pangkal keratan rose.  22/6/15


 
 Keratan pada 30/6/2015



Keratan rose terbaru yang telah dimasukkan dalam beg plastik pada semalam.  21/6/2015

Keratan pada 30/6/2015.  Ada yang mula berkulat dan semua keratan telah mati tidak lama kemudian.

Percubaan telah gagal, keratan rose hanya berjaya tumbuh tisu berwarna putih yang menutupi permukaan keratan tetapi gagal mengeluarkan akar.  Keratan telah mati pada pertengahan bulan Ogos 2015.  Walaubagaimana pun, percubaan ini telah menunjukkan bahawa kita boleh menggunapakai kaedah ini untuk membawa keratan yang diminati sekiranya melancong di tempat lain dalam tempoh masa yang agak panjang (dekat 3 bulan) tanpa perlu disimpan dalam peti sejuk, janji ada tempat yang suhunya tak tinggi dan beg plastik.  Sebahagian memang akan berkulat, tetapi, sekiranya ada satu atau dua keratan yang berjaya dibawa balik dan dapat disemai hidup, bagi saya, itu pun satu perkara yang amat menyeronok dan memuaskan.

Isnin, 15 Jun 2015

PENANAMAN DAISY DALAM POLIBAG

Bunga daisy yang ditanam ini berasal daripada biji benih daisy yang diambil ketika makan angin di Cameron Highland setahun lepas.  Telah disemai dalam polibag dan dibiarkan kat luar kena hujan panas.  Taklah dijaga sangat.  Cuma masa bila terlampau panas dan layu, saya akan jiruskan sikit air dan bagi sikit baja sekiranya teringat.  Selepas setahun lebih ditanam, daisy ini telah mengeluarkan pucuk bunga dan mula berbunga.  Mula-mulanya 1, lepas tu diikut dengan 3 kuntum bunga lagi, bunga warna merah dengan hanya 1 lapisan kelopak.  Dulu, pernah tanam juga dari biji benih, namun, dijaga rapi sangat dan akhirnya mati tanpa berbunga.  Ini merupakan kali pertama Daisy saya berbunga.  Cuma batang bunganya panjang, barangkali variati untuk orang untuk jual bunga kut.









PUSAT KONSERVASI DAN PENERANGAN PENYU KARAH PADANG KEMUNTING

Pada sabtu lepas, saya telah membawa anak saya ke pusat tersebut yang berada di Padang Kemunting, Pangkalan Balak untuk tengok penyu.  Pusat ini mempunyai satu bilik pameran mengenai penyu yang mempamerkan spesimen pelbagai jenis penyu dan satu kolam khas untuk pameran penyu hidup.  Selain itu, apabila tiba musim anak penyu menetas, siapa-siapa yang berminat boleh berdaftar untuk melepaskan anak penyu di pantai Pangkalan Balak.

Menurut risalahnya:
Pusat ini merupakan pusat konsevasi untuk penyu karah/ hawksbill turtle (Eretmochelys imbricata) yang merupakan antara penyu yang tercantik di dunia.  Dikenali sebagai "hawksbill turtle " kerana keunikan mulutnya yang menyerupai paruh burung helang.

Waktu operasi :  Selasa - Ahad 10am-5pm

Pusat pengeramannya boleh menampung 300-600 sarang telur penyu pada satu-satu musim bertelur.  Setiap sarang penyu adalah sedalam 45cm dan telur penyu biasanya akan mengambil masa lebih kurang 60 hari untuk menetas.    Anak penyu yang menetas perlu dilepaskan ke laut dan akan kembali ke pantai kelahiran apabila matang.

Penyu karah adalah dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.  Mengikut akta ini, hanya pemungut telur berlesan yang boleh memindah atau mengambil telur.  Penyu Karah merupakan spesies yang sangat terancam.  Kawasan pantai Pasang Kemunting merupakan salah satu kawasan pendaratan penyu karah yang penting di Melaka.

Sekiranya terdapat anak penyu yang menetas ia akan dilepaskan pada hari yang sama sebelum matahari terbenam.













Sesiapa yang melawat ke pantai Pangkalan Balak, bolehlah ambil peluang untuk melawat ke pusat ini dan melepaskan anak penyu karah sekiranya terdapat anak penyu menetas ketika musim menetas dan dimaklumkan bulan ini, iaitu Jun masih merupakan musim menetasnya.  Dan marilah sama-sama melindungi penyu karah yang comel ini dengan tidak mengambil dan memakan telurnya.  Dan jangan membuang sampah merata-rata contohnya ketika berkelah di pantai, sampah sarap ni kadang-kadang akan dimakan oleh penyu terutamanya beg plastik yang penyu salah anggap sebagai obor-obor dan mati akibat beg plastik yang kita buang.