Jumaat, 17 Jun 2022

Pengalaman menanam Venus Flytrap

 Venus flytrap merupakan sejenis pokok yang tumbuh di kawasan paya air tawar di luar negara.  Ia merupakan pokok yang lebih kurang sama dengan periuk kera dengan keupayaan untuk menangkap serangga untuk dijadikan makanan atau nutrientnya memandangkan habitat asalnya merupakan kawasan paya dengan keadaan nutrient yang kurang.  Saya telah membeli Venus Flytrap ini dengan harga tawaran yang agak murah apabila Ninso yang habiskan stok lama pokoknya.  

Saya telah memilih pasu yang penuh dengan anak pokok Venus flytrap dan telah mengalihkan anak pokok tersebut kepada beberapa pasu supaya bilangan pokok saya bertambah.  Media diperlukan adalah sphagnum moss dan perlite.  Memandangkan pokok ini memerlukan media yang lembap sepanjang masa, saya telah menggunakan konsep hydropot di mana saya telah mengikatkan tali sumbu pada lubang pasu supaya boleh menyedup air ke media.  Pasu tersebut akan diletakkan di atas botol plastik dengan saiz yang sesuai dengan pasu supaya boleh dimuatkan secara "fit" pada muncung botol.  Tujuannya adalah untuk mengelakkan nyamuk dari bertelur dalam air di dalam botol.  Pasu itu akan menjadi penutup kepada botol yang akan diisikan dengan air.

Sphagnum moss telah digaulkan dengan perlite dan air supaya menjadi lembap sebelum digunakan.  Keluarkan pokok venus flytrap dari pasu yang dibeli secara hati-hati dan asingkan akar pokok tersebut dari media.  Saya telah mencampurkan media lama dengan yang baru memandangkan medianya masih elok.  Bungkuskan semula akar pokok tersebut dengan media baru dan masukkan ke dalam pasu baru.  Kemudian isikan ruangan kosong dalam pasu dengan media yang lain sehingga penuh.  Letakkan pasu di atas botol yang telah diisikan air dengan keadaan tali sumbu direndam dalam air.  Saya telah meletakkan venus flytrap di balkoni kecil apartment saya yang akan mendapat cahaya matahari secara langsung pada sebelah petang.  Sehingga ke hari ini, iaitu selepas lebih 6 bulan selepas venus flytrap dibeli, hanya tinggal di pokok yang dapat hidup dan berkembang, pokok yang lain telah mati akibat media yang terlampau basah dan menyebabkan akat mereput.  Ini mungkin disebabkan pada peringkat permulaan saya telah mengisikan air sehingga  bahagian pangkal pasu terendam dalam air kerana berfikiran ia merupakan tumbuhan yang tahan terhadap keadaan lembap.  

Sekarang saya hanya memenuhkan air dalam botol paling maksimum adalah separuh botol dan memastikan pasu tidak terendam dalam air dan hanya membiarkan tali sumbu yang menyedut air.  Dua pokok yang hidup sekarang ini semakin membesar dengan sihat.  

Memandangkan tumbuhan ini memang hidup di kawasan paya dengan nutrient yang kurang, jadi, untuk menanamnya, kita hanya memerlukan air kosong sahaja, menurut sumber rujukan dari internet, pembajaan akan menyebabkan pokok mati.

Daripada pengalaman menanam, didapati venus flytrap amat sensitif terhadap kelembapan air dalam media.  Sekiranya media terlampau lembap, akar akan mereput dan pokok akan mati.  



Tiada ulasan: