Sabtu, 11 Jun 2022

Pengalaman membuat bud grafting pada pokok tin

 Saya telah mendapat peluang membeli keratan batang tin jenis Birdissot Negara Rimada, JH Adriatic dan Italian 258 pada harga yang agak murah.  Setelah keratan sampai, saya telah menggunakan keratan tersebut untuk membuatkan bud grafting memandangkan mata tunas pada keratan amat besar dan bonjol.  

Saya telah menggunakan pokok tin variati Masui Dauphine,  Martinenca Rimada, Panachee Tiger dan black Genoa sebagai pokok penanti.  Senang cerita, saya gunakan apa apa pokok yang saiznya sesuai untuk menjalankan bud grafting kali ini.

Untuk peralatan diperlukan, saya hanya menggunakan pisau kecil besi yang dibeli dengan 50sen dan grafting tape merupakan plastik wrapping yang telah saya potongan ke saiz 2".  Pisau kecil tu saya dah lama beli untuk tujuan grafting, setiap kali selepas selesai guna, saya akan bersihkan, asah tajam, dibiarkan kering sebelum disapu minyak masak dan disimpan. Apabila hendak digunakan, saya akan cuci dengan sunlight dulu untuk membuang minyak masak, lepas itu, akan dibilas dengan air panas untuk membasmi kuman sebelum digunakan.

Mula-mula, saya akan ambil keratan dan ikutkan mata tunas pada batang pokok yang akan digrafkan. Dengan menggunakan pisau kecil, saya akan membuat tanda pada batang pokok berdasarkan panjang mata tunas yang akan dikerat.  Apabila sudah ditandakan, saya akan menggunakan pisau kecil untuk membuangkan kulit pada batang pokok penanti.  Selepas itu, hiris keluar mata tunas dengan hati-hati, ambil keluar dan letakkan pada pokok penanti.  Balutkan dengan grafting tape sehingga lekat dan sungkupkan dengan bag plastik ais krim kalau ada. Kalau lokasi tidak sesuai, boleh dibiarkan atau gunakan plastik lain untuk sekadar tutup bagi mengekalkan kelembapan pada mata tunas. 

Selepas dua minggu, sekiranya mata tunas kekal hijau, itu bermakna grafting telah berjaya.  Pada peringkat ini, kita perlu mengambil langkah untuk memastikan mata tunas pecah supaya daun baru boleh tumbuh dari mata tunas yang digrafkan. Kaedah saya gunakan adalah saya akan buangkan segala daun ataupun batang pokok pengganti yang sedang bertunas bagi memaksa segala nutrien disalurkan kepada mata tunas tersebut.  Perkara ini amat penting sebab pernah berlaku tunas yang digrafkan tidak tumbuh bila dibiarkan dan akhirnya tunas itu mati sebab tidak tumbuh.

Saya kongsikan lakaran kaedah bud grafting seperti di bawah untuk pemahaman sekiranya mendapati tulisan saya sukar difahami.


 

Mata tunas Birdissot Negra Rimada yang telah pecah tunas baru baru ini. 


Pisau lipat RM0.50 yang digunakan untuk buat bud grafting.

Tiada ulasan: