Jumaat, 17 Jun 2022

Pengalaman menanam Venus Flytrap

 Venus flytrap merupakan sejenis pokok yang tumbuh di kawasan paya air tawar di luar negara.  Ia merupakan pokok yang lebih kurang sama dengan periuk kera dengan keupayaan untuk menangkap serangga untuk dijadikan makanan atau nutrientnya memandangkan habitat asalnya merupakan kawasan paya dengan keadaan nutrient yang kurang.  Saya telah membeli Venus Flytrap ini dengan harga tawaran yang agak murah apabila Ninso yang habiskan stok lama pokoknya.  

Saya telah memilih pasu yang penuh dengan anak pokok Venus flytrap dan telah mengalihkan anak pokok tersebut kepada beberapa pasu supaya bilangan pokok saya bertambah.  Media diperlukan adalah sphagnum moss dan perlite.  Memandangkan pokok ini memerlukan media yang lembap sepanjang masa, saya telah menggunakan konsep hydropot di mana saya telah mengikatkan tali sumbu pada lubang pasu supaya boleh menyedup air ke media.  Pasu tersebut akan diletakkan di atas botol plastik dengan saiz yang sesuai dengan pasu supaya boleh dimuatkan secara "fit" pada muncung botol.  Tujuannya adalah untuk mengelakkan nyamuk dari bertelur dalam air di dalam botol.  Pasu itu akan menjadi penutup kepada botol yang akan diisikan dengan air.

Sphagnum moss telah digaulkan dengan perlite dan air supaya menjadi lembap sebelum digunakan.  Keluarkan pokok venus flytrap dari pasu yang dibeli secara hati-hati dan asingkan akar pokok tersebut dari media.  Saya telah mencampurkan media lama dengan yang baru memandangkan medianya masih elok.  Bungkuskan semula akar pokok tersebut dengan media baru dan masukkan ke dalam pasu baru.  Kemudian isikan ruangan kosong dalam pasu dengan media yang lain sehingga penuh.  Letakkan pasu di atas botol yang telah diisikan air dengan keadaan tali sumbu direndam dalam air.  Saya telah meletakkan venus flytrap di balkoni kecil apartment saya yang akan mendapat cahaya matahari secara langsung pada sebelah petang.  Sehingga ke hari ini, iaitu selepas lebih 6 bulan selepas venus flytrap dibeli, hanya tinggal di pokok yang dapat hidup dan berkembang, pokok yang lain telah mati akibat media yang terlampau basah dan menyebabkan akat mereput.  Ini mungkin disebabkan pada peringkat permulaan saya telah mengisikan air sehingga  bahagian pangkal pasu terendam dalam air kerana berfikiran ia merupakan tumbuhan yang tahan terhadap keadaan lembap.  

Sekarang saya hanya memenuhkan air dalam botol paling maksimum adalah separuh botol dan memastikan pasu tidak terendam dalam air dan hanya membiarkan tali sumbu yang menyedut air.  Dua pokok yang hidup sekarang ini semakin membesar dengan sihat.  

Memandangkan tumbuhan ini memang hidup di kawasan paya dengan nutrient yang kurang, jadi, untuk menanamnya, kita hanya memerlukan air kosong sahaja, menurut sumber rujukan dari internet, pembajaan akan menyebabkan pokok mati.

Daripada pengalaman menanam, didapati venus flytrap amat sensitif terhadap kelembapan air dalam media.  Sekiranya media terlampau lembap, akar akan mereput dan pokok akan mati.  



Sabtu, 11 Jun 2022

Pengalaman membuat bud grafting pada pokok tin

 Saya telah mendapat peluang membeli keratan batang tin jenis Birdissot Negara Rimada, JH Adriatic dan Italian 258 pada harga yang agak murah.  Setelah keratan sampai, saya telah menggunakan keratan tersebut untuk membuatkan bud grafting memandangkan mata tunas pada keratan amat besar dan bonjol.  

Saya telah menggunakan pokok tin variati Masui Dauphine,  Martinenca Rimada, Panachee Tiger dan black Genoa sebagai pokok penanti.  Senang cerita, saya gunakan apa apa pokok yang saiznya sesuai untuk menjalankan bud grafting kali ini.

Untuk peralatan diperlukan, saya hanya menggunakan pisau kecil besi yang dibeli dengan 50sen dan grafting tape merupakan plastik wrapping yang telah saya potongan ke saiz 2".  Pisau kecil tu saya dah lama beli untuk tujuan grafting, setiap kali selepas selesai guna, saya akan bersihkan, asah tajam, dibiarkan kering sebelum disapu minyak masak dan disimpan. Apabila hendak digunakan, saya akan cuci dengan sunlight dulu untuk membuang minyak masak, lepas itu, akan dibilas dengan air panas untuk membasmi kuman sebelum digunakan.

Mula-mula, saya akan ambil keratan dan ikutkan mata tunas pada batang pokok yang akan digrafkan. Dengan menggunakan pisau kecil, saya akan membuat tanda pada batang pokok berdasarkan panjang mata tunas yang akan dikerat.  Apabila sudah ditandakan, saya akan menggunakan pisau kecil untuk membuangkan kulit pada batang pokok penanti.  Selepas itu, hiris keluar mata tunas dengan hati-hati, ambil keluar dan letakkan pada pokok penanti.  Balutkan dengan grafting tape sehingga lekat dan sungkupkan dengan bag plastik ais krim kalau ada. Kalau lokasi tidak sesuai, boleh dibiarkan atau gunakan plastik lain untuk sekadar tutup bagi mengekalkan kelembapan pada mata tunas. 

Selepas dua minggu, sekiranya mata tunas kekal hijau, itu bermakna grafting telah berjaya.  Pada peringkat ini, kita perlu mengambil langkah untuk memastikan mata tunas pecah supaya daun baru boleh tumbuh dari mata tunas yang digrafkan. Kaedah saya gunakan adalah saya akan buangkan segala daun ataupun batang pokok pengganti yang sedang bertunas bagi memaksa segala nutrien disalurkan kepada mata tunas tersebut.  Perkara ini amat penting sebab pernah berlaku tunas yang digrafkan tidak tumbuh bila dibiarkan dan akhirnya tunas itu mati sebab tidak tumbuh.

Saya kongsikan lakaran kaedah bud grafting seperti di bawah untuk pemahaman sekiranya mendapati tulisan saya sukar difahami.


 

Mata tunas Birdissot Negra Rimada yang telah pecah tunas baru baru ini. 


Pisau lipat RM0.50 yang digunakan untuk buat bud grafting.

Ahad, 5 Jun 2022

PENGALAMAN MEMBUAT TONG KOMPOS DIY

 Saya telah mendapat idea untuk membuatkan tong kompos DIY dengan menggunakan tong minyak masak 5kg apabila ada yang sudah habis digunakan. Antara bahan yang saya gunakan adalah 2 tong minyak masak 5 kg yang sama jenama.  Tujuan menggunakan tong minyak yang sama jenama adalah supaya tong minyak adalah muat / fit antara satu sama lain bila digabungkan.

Mula- mula potong tong minyak 1 pada paras pangkal muncung yang condong sehingga tong minyak menjadi satu bekas tanpa permukaan yang condong dengan mulutnya terbuka luas. Ambil surat khabar lama untuk lap kering minyak yang masih melekat pada permukaan dalam tong minyak. Tong minyak 1 ini akan digunakan sebagai tapak kepada tong minyak 2.  Fungsi utama adalah tong minyak 1 adalah untuk menadah air baja organik yang terhasil dari penguraian bahan organik atau sisa dapur dari tong minyak 2.

Bagi tong minyak 2, muncung tajam dengan penutup dibiarkan.  Beberapa lubang akan ditebuk pada penutup supaya air baja dari penguraian dapat mengalir keluar.  Untuk tong minyak 2 , bahagian pangkal akan dikerat buka secara hati-hati untuk membentuk penutup tong kompos.

Apabila sudah siap dikerat, terbalikkan tong minyak 2 dan masukkan bahagian muncung tajam dengan penutup yang telah ditebuk ke dalam tong minyak 1 dan tong kompos DIY telahpun siap.  Boleh guntingkan sedikit tepi tong minyak 1 untuk memuatkan tong minyak 2 dengan lebih ketat dan tidak senang keluar.

Tong ini sesuai diletak di dapur dan boleh masukkan sisa dapur berunsur tumbuhan seperti kulit buah-buahan, sayuran, kulit bawang dan sebagainya.  Biasanya saya akan menggunting sisa dapur ini untuk mengecilkan saiznya supaya proses penguraian dapat berlaku dengan lagi berkesan. Untuk rumah saya yang hari hari memasak, tong kompos ini mengambil masa seminggu untuk dipenuhkan.  Apabila sudah penuh, saya akan alihkan tong ini keluar balkoni dan dibiarkan di situ sehingga proses penguraian selesai.  Proses ini dijangka mengambil masa 3 bulan.  

Ketika proses penguraian berlaku, cecair atau air baja akan terhasil, air baja ini akan mengalir ke dalam tong minyak 1 melalui penutup tong minyak 2 yang telah ditebuk. Apabila cecair baja dah penuh dalam tong minyak 1, boleh diangkat dan dituangkan ke dalam bekas lain untuk digunakan sebagai baja.

  Sebagai peringatan, pastikan bekas simpanan tidak ditutup secara kedap udara kerana masih akan berlaku lagi proses penguraian yang akan menghasilkan gas.  Cecair baja ini perlu dicampur dengan air untuk ditawarkan sebelum digunakan.  Nisbah satu ml kepada berapa L air saya belum dapat sifirnya lagi. Itu kena tunggu lepas baja yang dibeli habis digunakan baru akan saya gunakan.

Dan selepas 3 bulan, apabila sudah tiada lagi cecair yang mengalir keluar dan sisa dapur telah menjadi hitam dan hilang rupa bentuk asalnya, maka, kompos telahpun dihasilkan. Kompos ini boleh digunakan untuk dicampurkan dalam tanah untuk menambah kesuburan tanah.

Pada masa sekarang, dengan keadaan baja semakin naik harga, mungkin kaedah ini dapat membantu untuk mengurangkan sedikit kos dan menukarkan sisa yang tidak diperlukan kepada baja organik untuk digunakan semula.   Bagi saya, tong kompos ini amat sesuai dengan saya yang langsung tiada tempat untuk membuat kompos dengan kaedah konvensional yang memerlukan kawasan yang besar kerana duduk di pangsapuri.

Tong kompos DIY yang dibuat dengan 2 tong minyak.
Muncung tong minyak 2 dengan penutup ditebuk dimasukkan ke dalam tong minyak 1.  Cecair baja akan mengalir keluar dan disimpan dalam tong minyak 1.
Pandangan sisi tong kompos DIY.
Tong kompos dengan keadaan penutup dibuka. Saya telah tambahkan roti yang berkilat ke dalam tong untuk dijadikan kompos.


Sabtu, 4 Jun 2022

Pengalaman menanam botol plant

 Botol plant merupakan sejenis tumbuhan yang wujud di kawasan paya yang tidak subur di Amerika.  Antara ciri -ciri unik botol plant adalah boleh tumbuh dalam keadaan yang amat lembap dan tidak perlu dibaja dengan sifat karnivorous.

Botol plant saya dibeli dari Ninso dengan harga yang agak murah semasa tawaran clearance stok sebab tidak laku.  Saya beli 2 pasu dengan diskaun.  Dari pemerhatian saya, ada dua jenis yang saya beli, sejenis dengan botol yang tinggi dan sejenis dengan botol yang pendek.  

Botol plant ini dikira antara tumbuhan tangan lasak dan kurang memerlukan perhatian dan langsung tidak perlu dibaja. Kaedah menanam pun amat senang, hanya dengan menggunakan sphagnum moss.  Saya masih menggunakan kaedah hydropot dengan menggunakan wick/ sumbu dari tali yang boleh serap air. Wick akan diikat pada tapak pasu dan tembus melalui lubang pasu dan dimasukkan ke dalam bekas tertutup yang diisi dengan air kosong.  Kebaikan guna hydropot adalah kita tidak perlu risau tentang isu jentik jentik nyamuk sebab pokok ini merupakan tumbuhan paya yang sentiasa perlu dicelup pastinya dalam bekas, jika guna bekas terbuka, saya percaya nanti akan ada masalah nyamuk.  

Kaedah penanamnya adalah dengan membalut kan akar  botol plant dengan sphagnum moss yang telah dibasahkan. Letak dalam pasu dan isikan ruangan lebihan dalam pasu dengan sphagnum moss hingga penuh.  Botol plant perlu diletak di lokasi yang sentiasa mendapat cahaya matahari.  Tambahkan air kosong dalam bekas bila kering dan tidak perlu dibaja. 

Bagi saya, botol plant merupakan salah satu tumbuhan orang malas yang senang dijaga dan sesuai bagi sesiapa yang kerjanya sentiasa "outstation" sebab hanya perlu tambah air saja dan tidak perlu baja. Terlebih air pun tidak risau pokok mati lemas.  

Ini merupakan benih botol plant yang telah diasingkan dari induk asal yang dibeli.