Jumaat, 21 April 2023

KAEDAH MENCAMBAHKAN BIJI PRUNE

 Prune variati Ruby Sun telah dibeli dari hypermarket apabila pergi beli barang dapur. Selepas prune dimakan, bijinya telah dikeringkan dan diketuk pecah dengan menggunakan lesung.  Saya hanya dapat simpan satu biji sebab yang lain telah dibuang oleh anak.

Biji benih tersebut telah dimasukkan dalam beg plastik aiskrim berserta dengan kertas tisu lembap dan dibiarkan dalam peti sejuk. 

Kalau ikut rekod, saya telah letak dalam peti sejuk pada 26/3/2023 dan apabila diperiksa pada 21/4/2023, iaitu sehari sebelum hari Raya, biji benih telah mengeluarkan akar putih menandakan telah sesuai untuk disemai dalam pasu.


Biji benih prune ini akan disemai semasa cuti Raya ini dan harap boleh bercambah seperti pokok lain.

Rabu, 5 April 2023

PENGALAMAN MENANAM ORKID DENDROBIUM

Orkid Dendrobium yang ditanam merupakan benih orkid yang saya ambil dari kampung pada beberapa tahun lepas. Disebabkan tiada masa menjaga, benih orkid tersebut hidup dalam keadaan sentiasa kena stress air dan tanpa baja sebab hanya digantung bawah pokok tanpa penjagaan yang rapi.  

Pada tiga tahun lepas, saya telah mengambil keputusan untuk mengalihkan benih orkid tersebut balik ke rumah saya dan ditanam di luar balkoni.  Pada mula mula, saya menggunakan media kayu arang bercampur dengan sphagnum moss dan ditanam dalam bakul sayur kecil yang diletakkan atas tong minyak 3kg. Tujuan alaskan atas tong minyak adalah untuk menakung air siraman dan air baja bagi mengekalkan lantai balkoni sentiasa kering dan untuk mengelakkan air baja daripada terkena kompresor penghawa dingin.

Saya telah menyiramkan air baja AB dengan kepekatan yang rendah setiap hari.  Apabila benih tersebut semakin membesar dan tidak muat dalam bakul sayur kecil, saya telah menukarkan kepada pasu orkid plastik yang lagi besar dengan kekalkan media sediada dan tambahkan dengan leca clay pebbles.  Dengan air baja yang sentiasa mencukupi, pokok telah membesar dengan baik dan akhirnya pokok orkid ini telah mengeluarkan bunga beberapa hari sebelum tahun baru cina tahun ini.  Disebabkan jarang terkena air hujan, bunga orkid tersebut amat tahan dan sehingga kini masih adalah bunga yang tidak layu.






Khamis, 30 Mac 2023

PENGALAMAN MENANAM POKOK MANGGA DI KONDOMINIUM

 Saya telah membelikan benih pokok mangga variasi harum manis ketika hadir ke Agro Johor yang diadakan di Segamat pada tahun lepas pada harga RM15.  Saya telah memilih polibag dengan 2 anak pokok graf. Jadi dengan harga sepokok saya telah mendapat 2 pokok harum manis. Mula mula saya biarkan benih tersebut dalam polibag di kawasan redup balkoni kondominium di mana saya duduk bagi tujuan menstabilkan pokok.  Setelah beberapa bulan di kawasan redup, saya telah mengalihkan salah satu pokok ke dalam pasu besar dan letakkan di atas kompresor penghawa dingin di mana pokok akan mendapat pencahayaan pada sebelah petang disebabkan kedudukan balkoni yang menghala ke arah barat daya hanya akan mendapat cahaya matahari secara terus pada sebelah petang.  Sepokok lagi saya telah semai dalam polibag besar di kebun.  Untuk pokok yang telah dialihkan ke dalam pasu besar dengan pencahayaan selama 3 jam sebelah petang, saya dapati pertumbuhannya terbantut dan susah untuk tumbuh pucuk baru.  Pokok tersebut akhirnya telah mati akibat akar gagal tumbuh dan daun kering.

Daripada pemerhatian saya, kemungkinan besar pencahayaan yang mencukupi adalah amat penting untuk pokok mangga tumbuh.  Berbanding dengan pokok tin, pokok mangga mungkin memerlukan pencahayaan yang lagi tinggi untuk tumbuh memandangkan saya juga menanam pokok tin pada lokasi yang sama dan semua pokok tin dewasa boleh tumbuh dan berbuah seperti biasa.  

Pokok mangga yang ditanam bawah cahaya matahari penuh di tepi jalan yang telah berbuah walaupun sentiasa diabaikan dan tanpa pembajaan.


Rabu, 22 Mac 2023

PENGALAMAN MENANAM POKOK APRICOT

 Apricots merupakan sejenis buah buahan negara beriklim.  Saya telah memberi buah aprikot di AEON pada 3 tahun lepas semasa pandemic COVID melanda.  Setelah habis makan buahnya, bijinya telah dibersihkan dan dipecahkan untuk mendapatkan biji benih di dalam tempurung keras.  Biji benih tersebut telah dialaskan dengan tisu lembap dan diaimpan dalam ziplock bag.  Ziplock bag telah disimpan dalam peti sejuk selama 3 bulan bagi menggalakkan akarnya tumbuh.

Setelah akarnya tumbuh, saya telah semaikan dalam  pasu yang sama dan dibiarkan tumbuh.  Daripada 3 pokok yang tumbuh, hanya tinggal 2 pokok yang masih kekal tumbuh.  Baru baru ini baru saya pecahkan kepada 2 pasu.  Disebabkan persaingan, satu pokok tumbuh dengan sihat manakala satu lagi hanya tinggal sikit daun dan memerlukan masa untuk pulih.  Saya berharap pokok aprikot ini boleh tumbuh dan membuahkan hasil di bumi Malaysia dengan iklim yang berbeza dengan iklim asalnya.

Pokok Aprikot kecil yang baru tumbuh pucuk baru.

Pokok kecil masih dihimpit walaupun sudah ditukarkan kepada pasu sendiri.
Pokok aprikot yang besar yang telah tumbuh dalam 2 kaki.



Ahad, 19 Mac 2023

PENGALAMAN MENYEMAI BIJI BERANGAN

 Pada suatu hari Jumaat, apabila sedang membeli barang dapur di Lotus's, tiba-tiba terasa ingin mencuba menyemai dan menanam pokok berangan setelah melihat dalam Facebook beberapa hari lepas. Maka saya telah membeli 2 biji buah berangan dan semai menggunakan pasu kecil. Saya menggunakan kaedah hydropot dengan mengikat tali mop terpakai pada tapak pasu, masukkan tanah dan letakkan bijinya dengan muncung yang tirus menghala ke tanah. Menyiram air apabila tanah kering.  Setelah sebulan, tunas telah tumbuh dari salah satu biji yang semai. Sebiji lagi masih tidak tumbuh. Bagi yang sudah tumbuh, sekarang kena memastikan air dan cahaya sentiasa cukup supaya boleh membesar dengan baik dan boleh ditanam terus atas tanah.



Tunas yang baru tumbuh keluar dari biji berangan selepas sebulan disemai.

Isnin, 27 Februari 2023

KESAN BUAH TIN MARTINECA RIMADA TERLEBIH AIR

Pokok tin MARTINECA RIMADA telah ditanam oleh saya sejak dua tahun lepas.  Baru baru ni pokok telah berbuah setelah sekian lama dijaga.  Bagi memastikan pokok sentiasa segar, saya telah mengisikan hydropot dengan air baja yang penuh.  Apabila musim hujan menjelang, keperluan air pokok telah berkurangan tetapi saya masih sentiasa memastikan hydropot adalah pada paras yang penuh. Kesannya adalah apabila buah sudah dekat ranum dan berubah warna, buah tin tersebut telah meletup buka seperti bunga.  Saya kongsikan gambar seperti dibawah.  Bagi sahabat yang menanam pokok tin, sila pastikan air yg mencukupi dan bukannya berlebihan diberikan kepada pokok tin apabila buah sudah dekat ranum bagi mengelakkan gejala buah meletup.




Saiz buah adalah dalam 84 gram dan telah menjadi masam setelah buah pecah.