Isnin, 21 Oktober 2019

PENGALAMAN MENANAM CENDAWAN DI BILIK AIR

Saya telah diberi peluang untuk melawat ke pesta buah-buahan di Segamat pada hujung Jun.  Ketika merayau di tapak gerai, saya telah tertarik kepada gerai yang jual bongkah cendawan pada tapak pameran.  Setelah menanyanya cara penanaman dan harga.  Maka, saya telah pun membeli 2 bongkah cendawan dengan harga RM 6.  Menurut penjual, bongkah tersebut kena letak di kawasan yang lembap dan disembur dengan air di atas bongkah tersebut dengan kekerapan beberapa kali sehari dan cendawan akan tumbuh dalam masa 2 minggu sekiranya keadaan sekeliling adalah sesuai.  Manual rujukan juga telah diberikan oleh penjual.  Setelah balik ke rumah, saya telah membaca manual tersebut dan dapati bahawa kita boleh kekalkan kelembapan pada bongkah cendawan dengan kain lembap selain menggunakan sprayer untuk sembur pada bongkah.  Memandangkan di rumah saya memang tidak ada sprayer, maka saya telah membuat keputusan untuk gunakan kain buruk lembap bagi tujuan mengekalkan kelembapan cendawan.
Bongkah tersebut telah diletakkan di atas  rak di dalam tandas sebab memikirkan tandas memang merupakan tempat yang paling lembap dalam rumah saya.  Namum, disebabkan oleh musim kemarau dan angin yang kuat, kain buruk yang dibasahkan sentiasa menjadi kering dengan cepat dan setiap hari saya kena basahkan kain tersebut dan tutup diatas bongkah tersebut.  Oleh sebab keadaan kemarau yang berpanjangan, saya tetpaksa menutup rak dengan beg plastik dengan harapan dapat mengekalkan kelembapan sekeliling bongkah setelah bongkah ditutup dengan kain lembap.  Setelah dekat sebulan percubaan, salah satu bongkah cendawan telah mula tumbuh namun telah menjadi kering sebelum sempat membesar akibat kemarau.
Satu lagi bongkah langsung tiada apa apa pertumbuhan.  Saya telah membuangkan cendawan yang kering dengan mencabut dan mengeluarkan pangkalnya dari muncung bongkah dan menutup semula bongkah untuk menunggu pertumbuhan yang seterus.  Salah satu lagi bongkah langsung tidak menunjukkan apa apa pertumbuhan.
Oleh sebab kesibukan dengan kerja, bongkah tersebut telah dibiarkan atas rak tanpa banyak perhatian dan kain buruk hanya dilembapkan apabila didapati kering.  Apabila mendapati bahawa hypha cendawan telah memenuhi seruluh bongkah termasuk muncung bongkah setelah 3 bulan menanti, saya telah membuka penutup muncung dan membiarkannya dengan harapan cendawan akan tumbuh dengan bisikan dalam hati sekiranya tidak tumbuh lagi pada masa terdekat, saya akan membuangkan kedua dua bongkah tersebut.
Pada bulan oktober, dengan bermulanya musim tengkujuh, maka turunlah hujan,  dengan rahmat hujan ini dan tanpa disangka, cendawan telah muncul di salah satu bongkah dan diikuti dengan cendawan pada bongkah yang lain.
Setelah memetik dan membersihkan pangkal pada muncung bongkah, sekarang saya menunggu lagi kemunculan cendawan baru sebab dimaklumkan oleh penjual cendawan ini boleh muncul sebanyak 6-8 kali bagi setiap bongkah.
Harap harap dengan musim hujan ini saya dapat merasa  cendawan yang ditanam sendiri lagi.  Dan pendapat saya adalah sekiranya pada musim hujan kita tidak dapat tanam sayur sayur lain di luar akibat hujan, mungkin kita boleh tanam cendawan di dalam rumah sebab cendawan ini betul betul macam pepatah Melayu " bagai cendawan tumbuh selepas hujan".

Cendawan yang telah besar sedia untuk dipetik.  Sebelahnya merupakan bongkah yang telah dipetik, dibersihkan pangkal dan kini ditutup dengan penutup untuk diperam supaya hyphanya boleh tumbuh semula dan membentuk cendawan baru.