Isnin, 21 Oktober 2019

PENGALAMAN MENANAM CENDAWAN DI BILIK AIR

Saya telah diberi peluang untuk melawat ke pesta buah-buahan di Segamat pada hujung Jun.  Ketika merayau di tapak gerai, saya telah tertarik kepada gerai yang jual bongkah cendawan pada tapak pameran.  Setelah menanyanya cara penanaman dan harga.  Maka, saya telah pun membeli 2 bongkah cendawan dengan harga RM 6.  Menurut penjual, bongkah tersebut kena letak di kawasan yang lembap dan disembur dengan air di atas bongkah tersebut dengan kekerapan beberapa kali sehari dan cendawan akan tumbuh dalam masa 2 minggu sekiranya keadaan sekeliling adalah sesuai.  Manual rujukan juga telah diberikan oleh penjual.  Setelah balik ke rumah, saya telah membaca manual tersebut dan dapati bahawa kita boleh kekalkan kelembapan pada bongkah cendawan dengan kain lembap selain menggunakan sprayer untuk sembur pada bongkah.  Memandangkan di rumah saya memang tidak ada sprayer, maka saya telah membuat keputusan untuk gunakan kain buruk lembap bagi tujuan mengekalkan kelembapan cendawan.
Bongkah tersebut telah diletakkan di atas  rak di dalam tandas sebab memikirkan tandas memang merupakan tempat yang paling lembap dalam rumah saya.  Namum, disebabkan oleh musim kemarau dan angin yang kuat, kain buruk yang dibasahkan sentiasa menjadi kering dengan cepat dan setiap hari saya kena basahkan kain tersebut dan tutup diatas bongkah tersebut.  Oleh sebab keadaan kemarau yang berpanjangan, saya tetpaksa menutup rak dengan beg plastik dengan harapan dapat mengekalkan kelembapan sekeliling bongkah setelah bongkah ditutup dengan kain lembap.  Setelah dekat sebulan percubaan, salah satu bongkah cendawan telah mula tumbuh namun telah menjadi kering sebelum sempat membesar akibat kemarau.
Satu lagi bongkah langsung tiada apa apa pertumbuhan.  Saya telah membuangkan cendawan yang kering dengan mencabut dan mengeluarkan pangkalnya dari muncung bongkah dan menutup semula bongkah untuk menunggu pertumbuhan yang seterus.  Salah satu lagi bongkah langsung tidak menunjukkan apa apa pertumbuhan.
Oleh sebab kesibukan dengan kerja, bongkah tersebut telah dibiarkan atas rak tanpa banyak perhatian dan kain buruk hanya dilembapkan apabila didapati kering.  Apabila mendapati bahawa hypha cendawan telah memenuhi seruluh bongkah termasuk muncung bongkah setelah 3 bulan menanti, saya telah membuka penutup muncung dan membiarkannya dengan harapan cendawan akan tumbuh dengan bisikan dalam hati sekiranya tidak tumbuh lagi pada masa terdekat, saya akan membuangkan kedua dua bongkah tersebut.
Pada bulan oktober, dengan bermulanya musim tengkujuh, maka turunlah hujan,  dengan rahmat hujan ini dan tanpa disangka, cendawan telah muncul di salah satu bongkah dan diikuti dengan cendawan pada bongkah yang lain.
Setelah memetik dan membersihkan pangkal pada muncung bongkah, sekarang saya menunggu lagi kemunculan cendawan baru sebab dimaklumkan oleh penjual cendawan ini boleh muncul sebanyak 6-8 kali bagi setiap bongkah.
Harap harap dengan musim hujan ini saya dapat merasa  cendawan yang ditanam sendiri lagi.  Dan pendapat saya adalah sekiranya pada musim hujan kita tidak dapat tanam sayur sayur lain di luar akibat hujan, mungkin kita boleh tanam cendawan di dalam rumah sebab cendawan ini betul betul macam pepatah Melayu " bagai cendawan tumbuh selepas hujan".

Cendawan yang telah besar sedia untuk dipetik.  Sebelahnya merupakan bongkah yang telah dipetik, dibersihkan pangkal dan kini ditutup dengan penutup untuk diperam supaya hyphanya boleh tumbuh semula dan membentuk cendawan baru.

Ahad, 31 Mac 2019

CARA UNTUK MEMBAIKI POLIPAIP BOCOR

Sebagai seorang pekebun, saya percaya kita memang tidak boleh elak daripada masalah paip di kebun bocor.  Hari ini saya akan menunjukkan cara untuk membaikpulih polipaip yang bocor tanpa memanggil tukang paip, maklumlah, bila hanya bocor sikit, tukang paip pun malas untuk layan, upah tidak setimpal dengan kerja yang dibuat, hendak cas mahal, takut orang adu, cas murah, duit minyak pula tidak lepas.   Jadi, resolusi terbaik adalah untuk melakukan baik pulih sendiri.  Bagi membolehkan kerja baikpulih dijalankan, kita kena ada alat gantinya dan peralatan  yang bersesuaian, iaitu connector dan gerjaji paip kecil dengan kos kurang dari RM10. Connector yang digunakan adalah connector1/2 inci yang merupakan standard untuk paip 1/2inci.
Langkah baikpulih secara ringkas adalah seperti berikut:
1.  Kenalpasti lokasi paip bocor, jika dibawah tanah, kena gali keluar polipaip yang bocor.  Biasanya kita dapat melihat air pancut keluar dari titik bocor.
2. Tutup sumber air supaya air tidak melimpah keluar dan mengurangkan  inciden kita basah kuyup selain mandi lumpur.
3.  Kerat dan buangkan polipaip di sekitar titik  bocor dengan panjang lebih kurang 2 inci (panjang yang hendak dibuang perlu mengikut panjang connector yang akan dipasang, jangan terlebih kerat).
4.  Pasang connector seperti dalam gambar.  Pastikan gelang getah hitam tidak tercicir, jika hilang, paip akan kekal bocor walaupun kita pasang dengan ketat. Menurut tauke kedai hardware, jangan pasang terlampau ketat, sekadar tidak bocor sudah cukup.
5.  Selepas pasang, buka sumber air untuk periksa sama ada sambungan adalah sempurna.  Sekiranya terdapat air menitis atau memacut keluar, sila tutup air dan pasang semula.  Proses ini diulang sehingga sambungan adalah sempurna dan tidak bocor.
6.  Sekiranya sudah selesai dan puas hati, tanah boleh dikambus balik dan kemaskan kawasan supaya kembali asal walaupun penuh dengan lumpur.



Gali dan kenalpasti lokasi bocor, dalam kes ini, polipaip bawah tanah yang menghala ke pump air telah bocor.  Air lumpur terkumpul dalam lubang boleh dibuangkan dengan bekas kecil bagi memudahkan kerja dijalankan.
Connector dan gergaji paip yang digunakan untukbaik pulih polipaip bocor.
Langkah untuk memasang connector setelah polipaip dikerat:
a.  Masukkan No 1 ke dalam polipaip air masuk (inlet).
b.  Masukkan No 2 ke dalam polipaip, bahagian yang bulat licin menghala ke arah muncung paip yang telah dikerat. Seeloknya posisi sama denganpermukaan yang telah dikerat. 
c.  Masukkan No 3 dalam No 4, masukkan polipaip dalam No 4 dan mula ketatkan No d.  Pastikan posisi No 1 dan No 4 adalah selari, kalau senget, paip akan bocor.
e.  Ulangi langkah yang sama untuk muncung paip outlet.
f.  Setelah selesai, cuba buka sumber air dan periksa samaada sambungan bocor. Sekiranya bocor, cuba buka dan pasang semula sehingga tidak bocor.
f.  Setelah semua selesai, kembus semula tanah yang digali dan taniah, polipaip anda telah selesai disambung dan kebocoran telah dibaikpulih. 

 Polipaip yang telah dibaikpulih dengan tambah connector pada titik bocornya.  Gambar masa baikpulih tidak dapat diambil sebab tangan kotor dan tidakboleh pegang handphone.
 Satu lagi poli paip yang dibaikpulih dengan menggunakan connector.

Khamis, 28 Mac 2019

Pengalaman menanam pokok pisang tanduk.

Pisang tanduk merupakan salah satu pisang kegemaran saya.  Saya telah mendapat benih pisang tanduk ini dua tahun lepas di Segamat di rumah rakan satu pejabat di rumah beliau.  Pokok pisang tanduk pertama telah berjaya membesar dan membuahkan pisang. Malangnya pisang tersebut telah menjadi makanan monyet dan saya satu batang pun tidak dapat. Ini merupakan salah satu benih daripada pokok asal.  Saya telah kekalkan benih ini pada tempat asal pokok asal dan mengalihkan yang lain. Menurut tips daripada orang lama, benih pisang tanduk tidak akan hidup subur ditempat asal pokok induknya dan perlu dialihkan ke lokasi yang lain supaya boleh terus hidup subur. Tetapi,  saya mempunyai satu teori iaitu sekiranya hanya satu sahaja yang ditinggalkan, sepatutnya semua nutrien akan diperoleh oleh benih ini tanpa persaingan , maka benih ini akan besar dengan sempurna dan membuahkan hasil.   Maka,benih ini telah sengaja ditinggalkan untuk mencuba nasib.  Pokok ini tinggi lebih kurang dalam enam kaki dengan keadaan pokok yang sederhana besar,ukur lilit batang dalam anggaran 12 inci.  Bagi saya, ini merupakan salah satu variety pisang yang sesuai ditanam dikeliling rumah sebab saiz yang sederhana dan pertumbuhan adalah kurang aggresif berbanding dengan pokok pisang seperti pisang nipah dan embum yang tinggi dan besar.   Pokok ini telah dibaja sebulan sekali dengan baja organik dan kimia bergantung kepada apa yang saya ada ketika membaja.  Daun tua yang telah kering dan layu akan dibuang sebulan sekali supaya pokok nampak kemas dan bersih.  Benih lain yang tumbuh daripada pangkal lama juga dibuang supaya hanya satu pokok sahaja yang kekal. Pokok pisang ini telah mengeluarkan jantung pada Januari ini.  Saya telah belajar daripada pengalaman lepas dan telah sampulkan pisang ini dengan t shirt lama.  Menurut buku penanaman pisang keluaran Mardi, pisang tanduk akan matang dalam tempoh lebih kurang 3 bulan.  Maka, pada hujung bulan Mac, saya telah menebang pisangnya dan sekarang tengah diperam supaya cepat masak.  
Tips daripada emak saya, sekiranya ingin masak dengan cantik, pisang tanduk boleh dibungkus dengan surat khabar supaya warna kuning pada kulitnya adalah sekata dan cantik.

 Pisang tanduk yang dibungkus  dengan T Shirt.  Didapati dapat mengelakkan gangguan monyet selain mempunyai kulit yang lebih licin dan cantik.
 Tag telah menunjukkan pisang telah disampulkan pada 19 Januari dan saya telah menebang pisang ini pada 23Mac.  Pisang tanduk telah mengambil masa lebih kurang 10 minggu untuk menjadi matang.
 Keadaan pisang apabila dibuka sampulnya.  Hanya satu pisang yang telah rosak mungkin dipatahkan oleh monyet, yang lain masih dalam keadaan cantik dan elok.