Root knot nematode merupakan sejenis parasit yang menduduki dalam akar tumbuhan. Kesannya adalah akar tumbuhan akan membengkak sehingga menjadi seperti bola kecil yang tumbuh mengikut akar. Apabila akar the bengkak dan rosak, maka tumbuhan yang ditanam akan menjadi lemah, senang layu, tumbesaran terbantut dan nampak tak segar bagi kes serius sehingga menyebabkan kematian pada pokok tumbuhan. Jangkitan adalah melalui tanah dan penyakit ini boleh dikawal dengan pelbagai cara setelah saya melakukan kajian internet. Ada cara kawalan secara organik dan juga secara kimia. Kawalan kimia, senang saje pergi kedai beli racun nematode dan pakai saje ikut dosage atas botol tetapi melibatkan kos. Harga berapa, saya tak tahulah. Cara organik merupakan cara yang diminati saya dan cadang untuk pakai cara-cara ini untuk mengatasi masalah ini di square foot garden (SFG) saya. SFG saya telah digunakan sejak 2-3 tahun lepas dan memang menghasilkan banyak bekalan sayur untuk keluarga saya, boleh dikatakan saya jarang-jarang membeli sayur di pasar. Sejak kebelakangan ini, saya telah dapati bahawa terung asam dayak yang ditanam layu mati secara tiba-tiba, bila nak buang pokok, perasan akarnya dipenuhi dengan bengkakan kecil yang tak terbilang, tapi, masa itu masih tiada idea apa masalahnya cuma tahu pokok dah sakit. Lobak merah yang ditanam bila dicabut pun sama, penuh dengan bengkakan kecil pada akarnya. Baru-baru ini, bila saya buangkan pangkal bayam merah (red amaranth) pada SFG jumpa lagi bengkakan kecil. Dah fikir-fikir 3-4 hari baru teringat saya pernah baca masalah root knot nematode pada pokok fig dan saya pun mulakan kajian saya dengan harapan untuk mencari penyelesaian pada SFG saya
Akar bayam merah yang telah bengkak.
Bengkakan kecil boleh dilihat pada akar.
Lagi gambar bengkakan pada akar pada bayam merah.
Bengkakan boleh diperhatikan pada akar halus lobak merah.
Cara penyelesaian secara organik yang saya telah peroleh dari internet, antara cara yang didapati, kebanyakannya merupakan cara moyang kita bercucuk tanam yang telah lama tidak diamalkan:
- Rehatkan tanah 1 - 2 tahun sekiranya boleh. Iaitu apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita.
- Cabutkan akar/ pangkal tumbuhan setelah tumbuhan dituai dan dibakarkan/ dibuang. Ini akan mengurangkan bilangan nematode dewasa yang menduduki dalam akar. Nematode ni lah yang akan bertelur dan bila anak menetas, akan bergerak ke akar lain untuk memulakan kitaran yang sama. Ini juga merupakan ajaran orang tua yang telah lama saya lupakan.
- Cangkul dan kacau tanah itu supaya nematode terdedah kepada cahaya matahari, angin yang menyebabkan ia mati. Jirus air untuk lembapkan tanah supaya telurnya menetas, tanpa akar tumbuhan, anak nematode akan mati. Pastikan tapak yang dikacau betul-betul botak tanpa sebarang tumbuhan termasuk rumput. Rumput pun merupakan tumbuhan dimana akarnya akan diduduki oleh nematode. Menurut sumber bacaan yang asal Queensland Australia mengenai kawalan nematode di tanahnya yang lembap dan panas, adalah dicadangkan supaya tanah direhat dan dibiarkan botak 4-6 bulan. Ini akan mengurangkan bilangannya dalam tanah sebanyak 95%. Adalah tidak dicadangkan tanah dibiarkan botak lama sebab adalah tidak ekonomik dan takut hakisan tanah. Ini memang saya setuju sangat dan cadang nak try pada petak SFG saya.
- Tambahkan bahan organik dalam tanah untuk kawal bilangan nematode. Menurut maklumat internet, nematode senang hidup dalam tanah jenis berpasir dan susah untuk hidup dalam tanah penuh dengan bahan organik. Menurut sumber, bahan organik ini akan menambahkan mikrob tanah yang berfaedah termasuklah pemangsa kepada nematode ini. Bila wujudnya persaingan dan pemangsa, bilangan nematode yang jahat akan kurang. Selain itu, bahan organik yang banyak akan menyihatkan tumbuhan dan menambahkan daya ketahanan tumbuhan. Jadi, bolehlah gaulkan baja tahi ayam, kompos dan sebagainya dalam tanah untuk tujuan ini.
- Menanam sayuran/ tanaman secara pusingan. Iaitu menanam tanaman daripada kelas yang berbeza secara berpusingan dalam tapak yang sama. Ini adalah susah sikit untuk saya, sebab saya tak tahu mana satu sayur digolongkan dalam kelas yang mana. Tapi akan cuba jugalah.
- Solarization. Menggunakan tenaga cahaya untuk membunuh nematode. Caranya lebih kurang macam ni, nak detail, sila surf lagi internet. Tutup tapak tanah yang lembap dengan plastik lutsinar dan biarkan tanah itu dimasak mengikut tempoh, kat luar negara ada yang kata 4-6 minggu, ada pula kata 2-4 bulan. Kat Malaysia saya tak pasti, memandangkan kita sentiasa panas saje, saya rasa 4 minggu memang dah mamadai tetapi jika tapak tak digunakan bolehlah masak lama sikit, makin lama dimasak makin kuranglah pathogen dalam tanah itu. Cara ini akan membunuh nematode dalam tanah sedalam 1 kaki. Cara ini sesuai untuk tapak semaian benih dan sayuran yang akar tumbuh taklah dalam sangat. Selain nematode, cara ini juga akan membunuh perosak dan pathogen lain dalam tanah.
- Menjaga kebersihan perkakas digunakan, iaitu boot, cangkul dan lain-lain dibersihkan setiap kali bagi mengelak kita membawa nematode dalam tanah ke tempat lain. Jangan sesekali pindahkan tumbuhan yang tidak diketahui sumbernya dari satu tapak ke tapak lain sebab ia mungkin merupakan sumber jangkitan.
- Tanamkan tapak yang telah dijangkiti dengan tanaman yang lali terhadap jangkitan nematode contohnya kat luar negara, ada syarikat yang telah membangunkan benih yang dikatakan tahan virus, fungus dan nematode dengan singkatan VFN tertera pada packing biji benihnya. Saya masih tak pernah jumpa singkatan itu atau tak perasan pun tentang perkara ini sehingga membaca artikel dari internet.
- Periksa akar tumbuhan setiap kali hendak menanam pada tapak yang disediakan dan elakkan menanam tumbuhan dengan akar bengkak.
Daripada blog Anim Agro Technology, penyakit ini sebenarnya dikenali sebagai "Puru Akar" dalam bahasa Melayu.