Hari ini, saya nak berkongsi pengalaman saya mengenai penyakit pisang, iaitu moko pisang ataupun bacteria wilt ( layu bakteria). Penyakit ini merupakan satu penyakit penting yang membawa ekonomi impak di negara pengeluar pisang utama dan negara di Afrika di mana pisang merupakan makanan ruji mereka. Pengalaman saya mengenai penyakit ini hanya sekadar sebagai penanam pisang bumi hijau sebagai makanan sendiri dan bukannya pada tahap komersil. Penyakit ini telah berjangkit kat pokok pisang saya pada 2 tahun lepas apabila kebanyakan pisang di kawasan saya dijangkiti penyakit ini. Banyak pokok pisang telah layu dan mati. Tanda - tanda terkena penyakit pada anak dan pokok yang belum berbuah adalah daun akan layu perlahan-perlahan seolah-olah kekurangan air sehingga pokok tu mati. Untuk yang sudah berpisang, daun akan layu perlahan-perlahan dengan buah pisang berisi hitam bila dipotong buka. Permukaan umbut pokok yang dikerat akan mempunyai tekstur berwarna coklat seperti kesan reput. Pokok yang terkena penyakit ini confirm akan mati untuk pokok tersebut dan juga anak-anaknya pada rumpun yang sama. Pemerhatian saya ialah walaupun pokok pisang itu hidup berjiran, jika ia merupakan rumpun yang berbeza, maka penyakit itu tidak akan merebak kepada pokok tersebut walaupun duduk bersebelahan.
Menurut kajian daripada internet, penyakit hanya akan berjangkit dari pokok berpenyakit ke pokok sihat dengan bantuan agen seperti serangga pendebungaan dan parang yang digunakan untuk membuangkan daun pisang. Mekanismanya adalah begini
1. Parang : apabila kita guna parang untuk membuangkan daun layu dan kering dari pokok sakit, lendir/ getah pada pokok tersebut akan lekat pada parang dan bila kita gunakan parang yang sama untuk membuangkan daun pisang, bakteria pada pokok sakit akan dijangkitkan kepada pokok yang sihat melalui permukaan luka yang dihasilkan ketika membuang daun pisang. Cara atasinya adalah dengan membasmi kuman pada parang itu sebelum digunakan untuk pokok lain, namun, ia merupakan step yang leceh kecuali kita bawa sekali botol dengan pembasmi kuman dan celupkan parang setiap kali kita buatkan daun pisang. Cara saya yang nak senang dengan bilangan pokok yang sedikit adalah biarkan daun itu sampai betul betul kering, buanglah terus daun kering dari semua pokok pisang. Sehingga kini, nampaknya ok cuma kebun kurang kemas sikit dengan daun-daun layu dan patah lekat pada pokok pisang.
2. Agen pendebungaan seperti lebah madu akan merayau dari satu pokok ke pokok yang lain untuk mendapatkan madu dan debunga, apabila ia ke jantung pisang pokok sakit, lendir yang penuh dengan bakteria pada jantung pisang akan melekat pada lebah tersebut dan menumpang ke pokok yang sihat dan memasuki ke pokok pisang sihat melalui jantung pisang. Cara atasi adalah dengan membuangkan jantung pisang dengan segera apabila buah pisang telah semua siap berbuah. Ini akan mengurangkan inciden pokok pisang kena jangkit penyakit.
Untuk penyakit ini, saya tidak dapat kongsikan gambar sebab masa tu sibuk nak settlekan pisang sakit, memang tak terfikir untuk ambil gambar pun. Bagi siapa-siapa yang nak tengok gambar, bolehlah search di internet, banyak gambar dalam internet mengenai penyakit ini.
Update:
Pokok pisang nipah yang disyaki telah kena jangkitan moko pisang. Rasanya penyakit ini dah mula merebak lagi di kawasan saya (22/12/2015). Perhatikan jantung pisang yang tidak dibuang telah berwarna hitam, reput serta semua daun pisang yang mula menguning layu dari pucuk ke bahagian luar yang berbeza dengan layu daun tua.
Pokok pisang yang sama telah layu mati selepas kira-kira 5 minggu gambar di atas diambil. Gambar ini diambil pada 31/1/2016.